Zuraida Cabar BN Ceramah Puji GST Di Kampung

89
0
SHARE

Oleh: Wartawan MySuara

PETALING JAYA: Perbahasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen yang memuji keberanian Perdana Menteri melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) demi menyelamatkan ekonomi amat ‘menggerunkan’.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, BN tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat yang kebanyakkannya mengeluh apabila GST dilaksanakan.

“Saya mencabar wakil rakyat BN untuk balik kampung beri ceramah di kawasan masing-masing mengatakan GST bagus untuk rakyat.

“Saya yakin mereka akan dilempar telur busuk dan ditolak pengundi di kawasan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya pada Kongres Nasional Wanita PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, golongan wanita yang bertindak sebagai ‘Menteri Rumah Tangga’ menjadi mangsa utama apabila GST dilaksanakan ekoran terpaksa memikir jalan terbaik mengurus perbelanjaan keluarga.

Katanya, golongan itu perlu diberi pengiktirafan dalam mengendalikan ekonomi rumah tangga dengan bijak terutama perihal kewangan.