Zoo Negara Umum Nama Anak Panda Esok

140
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keputusan Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi milik pasangan haiwan itu Xing Xing dan Liang Liang akan diumumkan di Zoo Negara esok.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sejumlah 22,830 penyertaan diterima selepas pertandingan itu dibuka dari 17 November hingga 17 Disember tahun lalu.

Bilangan penyertaan itu lebih tinggi berbanding 2,324 penyertaan dalam Pertandingan Menamakan Pasangan Panda yang diadakan pada 2012.

Bagaimanapun hanya sembilan nama telah dipilih melalui satu saringan oleh juri profesional dan telah dihantar kepada Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) untuk persetujuan pihak mereka.

“CWCA amat berpuas hati dengan keputusan pemilihan nama bagi anak panda gergasi tersebut.

“Pemenang utama pertandingan berkenaan akan menerima sebuah kereta Perodua Myvi, manakala motosikal Demak menanti pemenang kedua dan ketiga,” kata Wan Junaidi.

Liang Liang melahirkan anak panda betina pada 18 Ogos tahun lalu.

Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan oleh Beijing, tiba di negara ini pada 21 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.