Zahid Usah Mencampuri Urusan Peguam Negara – Ram Karpal

131
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan supaya usah mencampuri urusan dalaman serta tugas peguam negara Malaysia dan Switzerland.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri sepatutnya mengalu-alukan tindakan Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland meminta bantuan Malaysia dalam siasatannya terhadap 1MDB, katanya lagi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Zahid pada 31 Januari lalu bahawa tindakan OAG negara itu mengeluarkan kenyataan media tentang penyiasatannya terhadap dakwaan penyelewengan USD4 bilion melibatkan 1MDB dan syarikat milik kerajaan Malaysia sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Ahli Parlimen DAP itu berharap OAG Switzerland tidak akan terpengaruh dengan kenyataan Zahid dan terus membuat permintaan secara terbuka.

“Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah bersetuju bekerjasama dengan OAG Switzerland dan orang ramai berhak mengetahui perkembangan siasatan,” katanya lagi.

Menurut laporan Malaysiakini pagi tadi, OAG Switzerland enggan mengulas kenyataan Zahid sebaliknya ‘berpuas hati’ dengan persetujuan Apandi untuk membantu siasatan mereka.

“Sebagai badan penguatkuasa undang-undang dan kehakiman, tindakan itu amat profesional dan dialu-alukan,” katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Zahid bahawa kes ini adalah urusan ‘antara kerajaan’ dan tidak seharusnya dibuat secara terbuka boleh mencetuskan keraguan bahawa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.

“Malah kita buat perkara yang sama Oktober tahun lalu, apabila Menteri Sumber Asli Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar secara terbuka meminta kerajaan Indonesia bertindak tegas terhadap individu atau syarikat dari mana-mana negara yang secara sengaja menyebabkan jerebu.

“Wan Junaidi tidak membuat permintaan itu melalui ‘saluran rasmi’ kerana ia melibatkan kepentingan awam dan kedua-dua negara. Sama juga dalam kes ini yang melibatkan OAG Switzerland,” katanya lagi. – FMT