Zahid Tegur Peguam Negara Switzerland

152
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan rasa kurang senang terhadap pihak berkuasa Switzerland yang membuat kenyataan terbuka berhubung kerjasama dalam siasatan mengenai 1MDB.

Kata timbalan perdana menteri, permohonan rasmi mengenai perkara itu sewajarnya dilakukan melalui saluran rasmi.

“Dengan membuat kenyataan terbuka begitu pada hemat saya ia tidak baik kerana bukan sahaja akan menyebabkan kerenggangan hubungan antara dua negara tetapi juga menyebabkan bias (memihak) dalam laporan media,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penutup di Tourism Fair 2016.

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa Peguam Negara Switzerland Michael Lauber telah meminta Putrajaya membantu siasatan berhubung kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang negara itu berkaitan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, salah laku pejabat awam, pengubahan wang haram dan jenayah salah urus 1MDB.

Kata Pejabat Peguam Negara Switzerland ia adalah sebahagian daripada proses siasatan ke atas dana 1MDB.

Ahmad Zahid berkata, maklumat daripada Lauber itu sepatutnya dibuat berdasarkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan.

Beliau juga menyatakan kerajaan mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menguruskan pertemuan dengan Lauber. – MK