Zahid Sahkan Muhyiddin Tidak Terlibat Komplot Guling Kerajaan

373
0
SHARE

SERI MANJUNG: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terlibat dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO itu berkata beliau mendedahkan perkara tersebut memandangkan beliau dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Presiden UMNO itu.

“Saya terpaksa beritahu di Lumut kerana secara peribadi saya dengan Zambry rapat dengan Tan Sri Muhyiddin.

“Kami (Ahmad Zahid dan Zambry) pernah sama-sama jatuh (dalam politik), jadi kami faham perasaan orang jatuh, jadi kami tidak akan pijak atau henyak orang yang jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung di sini, Ahad malam.

Turut hadir, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap Ketua UMNO Bahagian Lumut serta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohammad.