Zahid Mohon Bajet Tambahan Untuk Pelancongan

136
0
SHARE
ALOR GAJAH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memohon peruntukan tambahan bagi meningkatkan sektor pelancongan negara. Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau sendiri akan memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai hasrat itu dengan harapan supaya kegiatan promosi pelancongan dapat diperhebatkan.

“Saya akan mohon kepada Perdana Menteri peruntukan tambahan bagi tujuan promosi dan kegiatan pelancongan lain.

“Untuk tujuan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Tourism Malaysia perlu melakukan promosi di luar negara bersama pegawai kerajaan negeri serta pihak swasta,” katanya ketika merasmikan Freeport A’Famosa Outlet (FAO), di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, Tourism Malaysia juga perlu menampung kos mempromosikan pelancongan bagi setiap kerajaan negeri dan pihak swasta.

“Tolong bantu perbelanjaan mereka. Jangan harap kerajaan negeri saja kerana pelancongan negeri adalah untuk Malaysia juga.

“Jangan risau, saya akan bantu mendapatkan peruntukan tambahan untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya. Sebelum itu, ketibaan Ahmad Zahid disambut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron serta Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. FAO di Melaka adalah yang ketiga diwujudkan di negara ini.

Ia berkeluasan 310,000 kaki persegi menawarkan lebih 60 kedai barangan berjenama serta fesyen terkini kepada pengunjung seperti pakaian kanak-kanak, barangan sukan, kasut, beg, peralatan optikal, aksesori, makanan, minuman, produk kecantikan dan wangian.

Pusat beli-belah secara terbuka yang mengetengahkan konsep seni bina bertemakan warisan Belanda dan Melaka itu terletak berhampiran Plaza Tol Alor Gajah di Lebuh Raya Utara Selatan.

SHARE
Previous articleDisebabkan GST, Kakitangan Awam Masih Ada Kerja – Najib
Next articlePelepasan Cukai Manfaat Dua Juta Pembayar Cukai – Najib