Zahid Jamin Polis Berusaha Pastikan Insiden Paris Tidak Berlaku Di Malaysia

70
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa akan berusaha mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan insiden serangan yang berlaku di Paris pada Jumaat lalu tidak berlaku di Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, polis menambah bilangan anggota untuk memastikan keganasan yang mengorbankan lebih 120 nyawa di Perancis tidak menular di sini, terutamanya menjelang sidang kemuncak Asean bulan depan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, pihak berkuasa tidak menerima sebarang maklumat mengenai kemungkinan serangan menjelang sidang kemuncak itu tetapi menggesa orang ramai tampil ke hadapan dengan sebarang maklumat mengenai ancaman militan.

“Apa yang berlaku di Paris boleh berlaku di mana-mana sahaja jika kesediaan kita bukan pada tahap optimum.

“Kita boleh menjamin keselamatan rakyat Malaysia tetapi kami juga berharap sokongan awam dan bekerjasama dengan pihak polis dalam persediaan mereka,” kata Zahid kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat luar biasa Parti Progresif Penduduk (PPP) di Kuala Lumpur hari ini.

Zahid turut berkata, unit polis anti keganasan sudah meningkatkan pemantauan mereka terhadap jaringan pengganas di rantau ini menjelang sidang kemuncak Asean.

“Mereka yang mempunyai kaitan dengan kumpulan ini boleh didakwa mengikut Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) dan Pota (Undang-undang Pencegahan Keganasan),” kata Zahid. – INSIDER