Zahid Harap Komuniti Cina Kembali Kepada Kerajaan

128
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan komuniti Cina di negara ini akan kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) bersempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

Beliau yang juga naib presiden Umno itu turut mengharapkan permasalahan politik dan ekonomi yang kini melanda negara akan dapat diselesaikan.

“Saya harapkan tahun ini, Tahun Monyet, lebih makmur.

“Permasalahan politik dan ekonomi dapat diselesaikan dan saya harapkan masyarakat Cina akan kembali bersama-sama dengan kerajaan,” kata Zahid ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
Sokongan komuniti Cina yang merosot terhadap kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu digelar “Tsunami Cina” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam PRU13, BN memperoleh 49% undi majoriti manakala pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, berjaya memenangi 51% undi popular.

Disebabkan prestasi parti komponen BN daripada komuniti Cina yang tidak memberangsangkan, presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan pemimpin mereka tidak akan menerima jawatan Kabinet.

Perkara itu kemudiannya ditarik balik apabila Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil alih jawatan tersebut.

Demonstrasi Bersih 4 yang berlangsung di ibu negara pada hujung Ogos tahun lalu, yang mendesak Najib meletak jawatan, juga didakwa turut menyaksikan majoriti peserta terdiri daripada komuniti Cina.

Susulan itu, turut berlangsung “Himpunan Baju Merah” anjuran persatuan silat sebagai protes bantahan terhadap Bersih 4. – INSIDER