Zahid Cabar Belia Sertai Sektor Kerja Warga Asing

109
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu belia tempatan ambil alih kerja di sektor yang dikategorikan sebagai 3D iaitu dirty (kotor), difficult (sukar) dan dangerous (bahaya) bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu perlu kerana tenaga kerja asing kini menguasai sektor tersebut, yang membabitkan industri peladangan, perkilangan, pembinaan dan pembersihan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata berikutan tiadanya belia tempatan yang sanggup bekerja di bidang tersebut telah menyebabkan pihak industri terpaksa mengambil pekerja asing.

Menurutnya, ekonomi negara harus dibangunkan dan untuk tujuan itu, setiap sektor memerlukan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

“Kita mahu secara idealnya semua bidang pekerjaan daripada atas hingga paling bawah termasuk 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Tetapi berapa ramai yang sanggup? Berapa ramai yang sanggup menjadi tukang masak di restoran mamak, buat perabot?

“Inilah masalah kita. Bukan kerajaan tetapi pemain industri yang ingin membawa masuk pekerja asing ke Malaysia kerana pekerja tempatan cuma mampu bertahan satu hingga tiga bulan sahaja dalam sektor itu,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Selangor (MBS) kali ke-32 di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Datuk Seri Noh Omar dan Pengerusi Majlis Belia Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.

Ahmad Zahid juga berkata, beliau bukan mahu mencabar mana-mana persatuan belia untuk  memenuhi keperluan itu.

“Saya bukan mahu mencabar persatuan-persatuan tetapi saya mahu mencabar belia-belia, ceburi apa sahaja bidang yang selama ini disertai pekerja-pekerja asing. Ambil alih semua kerja-kerja itu dan kita tolak pekerja asing.

“Setuju? Cuci longkang, kutip buah, bina bangunan…Setuju?”  katanya lagi.