Zahid Akui BN Sukar Raih Semula Majoriti Dua Pertiga, Undi Popular

20
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui sukar bagi Barisan Nasional (BN) untuk meraih semula undi popular dan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRu14).

Ketika ditanya, Zahid bersetuju usaha untuk meraih semula undi popular itu satu ikhtiar yang sukar

Namun, parti itu akan tetap berusaha untuk tujuan itu, kata Zahid, mengulas lima seruan presiden parti, Najib Razak dalam usaha memenangi pilihan raya tersebut.

“Ya, kami sedang mencuba. (Umno) turut memberi fokus kepada pengundi atas pagar dengan bekerjasama dengan parti komponen kami (BN) serta NGO kami,” katanya dalam sidang media.

Zahid yang memangku tugas timbalan presiden berkata, usaha untuk mendapatkan semula undi tersebut amat penting bagi Umno sekarang.

“Ia penting kerana kita yang meletakkan diri kita dalam kedudukan tidak mendapat undi popular. Kita sedang mencuba bersungguh dan menjalankan usaha kita,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden, Hishammuddin Hussein pula mengangap, ucapan dasar presiden hari ini umpama pembentangan kad laporan prestasi Umno sebagai tarikan pada pengundi.

Katanya, “kad laporan” itu merupakan bukti terbaik kepada rakyat mengenai pencapaian Najib sebagai perdana menteri dan ketua parti terbesar itu untuk mendapat mandat memimpin negara bagi lima tahun akan datang.

“Rakyat hanya ada dua pilihan pilih BN atau pembangkang. Jadi apa yang dibentangkan dalam ucapan presiden bukan hanya perkara menyuntik semangat tapi juga kad laporan, bukan saja kepada ahli tetapi kepada rakyat di luar sana.

“Berdasarkan pembentangan dalam ucapan presiden hari ini, dan disokong oleh Umno, kita berharap rakyat akan memilih kita untuk pilihan raya depan,” kata Hishammuddin dalam sidang media.

Najib hari ini membekalkan lima mesej kepada seluruh ahli dan jentera parti itu untuk masuk ke medan PRU14 dan membawa kemenangan bagi BN.

Lima seruan dan semboyan itu, katanya, akan menentukan gerak kerja Umno dan BN dalam memandu rakyat untuk membuat pilihan yang betul pada PRU14 nanti.

Menurut Najib, dalam PRU14 nanti, rakyat hanya ada dua pilihan: antara “menuju cahaya di hujung jalan yang sudah tampak terang benderang” atau “kembali ke masa purba dan silam, dengan amalan-amalan kronisme dan pemerintahan kuku besi”.