Zahid Adakan Lawatan Kerja Ke Washington

80
0
SHARE

WASHINGTON: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat dari 29 Mac hingga 4 April ini.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear (NSS) di Pusat Konvensyen Walter E Washington pada 31 Mac hingga 2 April ini.

Ketika di sini, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat berasingan dengan beberapa agensi berkaitan, termasuk dengan Timbalan Setiausaha di Jabatan Negara Amerika dan Keselamatan Dalam Negara.

Antara isu yang akan dibincangkan nanti membabitkan soal kerjasama dua hala, termasuk isu jenayah merentas sempadan seperti menyekat keganasan, penyeludupan manusia dan kemajuan kemasukan Malaysia di bawah Program Pengecualian Visa ke Amerika Syarikat.