Yapeim Boleh Ambil Tindakan Terhadap Dakwaan Tidak Berasas – Najib

42
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) boleh mengambil sebarang tindakan terhadap sesiapa yang membuat dakwaan tidak berasas mengenai yayasan berkenaan, termasuk kesalahan jenayah fitnah.

Najib berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Antalya, Turki mengenai dakwaan wang Yapeim yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah disalahgunakan untuk membiayai perjalanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan rombongannya ke luar negara.

Mengenai tindakan Jamil untuk membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut, Najib berkata, “Kalau beliau yakin tidak bersalah, beliau boleh ambil apa-apa tindakan sama ada ‘criminal defamation’ ataupun civil defamation”.

Ditanya sama ada hal sedemikian merupakan satu usaha untuk mencalar imej kerajaan, beliau berkata perkara sebegitu akan sentiasa ada.

Semalam, Jamil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung dakwaan beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara.

Jamil turut menjelaskan dakwaan yang dibuat Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir program di Amerika Syarikat (AS) bersifat bersuka ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah jahat dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan integritinya selaku menteri.

Menurut Jamil, lawatan beliau ke AS pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama Yapeim dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di AS.

Ini termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika Syarikat serta Kanada. – INSIDER