YADIM Kenang Jasa Dr Asyraf

112
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan terus mengenang jasa dan usaha yang selama ini dilakukan bekas Yang Dipertuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam mengembangkan dakwah sejak beliau dilantik menerajui yayasan terbabit pada 2013.

Yang Dipertua Yadim yang baharu, Dr Yusri Mohamad berkata, Dr Asyraf Wajdi seorang yang komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.

“Saya amat mengenali Dr Asyraf sudah lama. Beliau sememangnya seorang yang rajin berkerja serta berilmu. Beliau juga mudah diajak berbincang dan mempuyai idea yang banyak dalam menggerakkan Yadim.

“Namun, setelah saya terdengar bahawa beliau bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri pada masa itu, saya amat sedih serta perasaan bercampur baur kerana terasa saya akan kehilangan seorang yang baik di Yadim ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, hari ini.

Majlis itu bertujuan bagi meraikan pelantikkan Dr Asyraf Wajdi sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan mengenang jasa baik beliau bersama kakitangan yayasan berkenaan.

Sementara itu, Dr Asyraf Wajdi berkata, banyak kenangan beliau di Yadim dan beliau akan terus membantu yayasan itu dalam mengembangkan syiar Islam.

Kata beliau, apa yang dilakukannya selama ini bersama Yadim semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Pada Julai lalu, Dr Asyraf Wajdi dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Hal Ehwal Agama semasa rombakan kabinet yang lakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.