Wirid Dan Zikir Adalah Amalan Tertua Islam

368
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

PUTRAJAYA: Amalan zikrullah dan membaca Al-Quran adalah amalan tertua dalam Islam yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan umat Islam di zaman Makkah selama 11 tahun sebelum solat lima waktu difardukan pada malam Israk Mikraj.

“Wirid dan zikrullah adalah amalan yang mula-mula disyaratkan dan paling banyak disebut dalam Al-Quran dan Sunah dengan lebih daripada 60 ayat,” jelas ahli Jilsah Turuq Sufiyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Dr Jahid Sidek Al-Khalidi.

Namun sayangnya amalan wirid dan zikir ini tidak mudah diterima oleh umat Islam berbanding amalan solat, puasa, zakat dan haji yang muncul kemudian.

Tambahnya jika dilihat kepada zaman kemuncak kegemilangan Islam adalah pada kurun pertama seperti sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kurun adalah kurunku…” maka amalan terawal dalam sejarah Islam ini perlu dipertahankan.

Malah tambahnya, amalan tarekat inilah yang diajar Baginda SAW kepada para sahabat terutamanya Saidina Ali RA melalui amalan zikrullah secara senyap di dalam hati (sirr) dan secara bersiara (jihar).

“Sekarang apa yang ada di kalangan umat Islam hanyalah ilmu fekah dan ilmu tauhid dalam bentuk syariat tanpa tasawuf yang menjadi ilmu hakikat,” tambahnya menolak dakwaan buruk bahawa ilmu tarekat adalah bidaah oleh ahli-ahli sufi, ajaran bukan sunnah dan tiada dalam Islam serta amalan sesat.

Menurutnya lagi, perbahasan dan polemik mengenai tasawuf bukanlah baru sebaliknya telah bermula lebih seribu tahun dahulu.

Imam Malik sendiri pernah membayangkan masalah ini, “Siapa yang beramal dengan fekah sahaja tanpa tasawuf, ia menjadi fasik (berdosa besar). Siapa beramal dengan tasawuf sahaja tanpa fekah, ia menjadi zindiq. Sesiapa yang menggabungkan kedua-duanya ia sampai kepada hakikat.”

Jelasnya, “Siapa yang beramal dengan fekah tanpa tasawuf” bermaksud mereka yang mengerjakan syariat fizikal sahaja dengan menjaga rukun dan syarat tanpa mempedulikan kebersihan hati untuk mengingati Illahi sebagaimana makna solat sebenar dalam firmannya, “… dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.” (Taha: 14)

Oleh itu, ilmu tasawuf dan tarekat terus subur sebagaimana berkembangnya mazhab fekah seperti Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali pada abad kedua dan ketiga hijrah.

Syeikh Al-Hujwiri yang meninggal pada tahun 465 Hijrah dalam kitabnya ‘Kashful Mahjub’ menyenaraikan 10 aliran tarekat yang muktabar pada zamannya iaitu Al-Muhasibiyyah, At-Tayfuriyyah, Al-Qassariyyah, Al-Khurraziyyah, Al-Sahliyyah, Al-Hakimiyyah, Al-Nuriyyah, Al-Junaydiyyah, Al-Sayyariyyah dan Al-Hafifiyyah.

“Zaman terus beredar, abad berganti abad, tarekat yang menjadi asas utama ilmu tasawuf terus menerus popular, diminati dan berkembang,” tambahnya mengenai aliran tarekat yang kini telah mempunyai lebih daripada 10 aliran terawal itu tadi.

“Jika Imam Ahmad Hanbal mewariskan mazhab Hanbali, Syeikh Abu Haris Al-Muhasibi seorang sufi terkenal yang mewariskan tarekat Muhasibiyyah dengan 27 buah kitab tasawuf,” jelasnya yang juga Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI).

Beliau ditemui selepas menyampaikan kertas kerja bertajuk, “Kedudukan dan Kepentingan Tarekat Tasawuf dalam Islam” di Simposium Tarekat Tasawuf di Masjid Putra dengan acara kemuncaknya ialah program Zikir Perdana yang merupakan himpunan terbesar ahli zikir pada sebelah malam nanti.

SHARE
Previous articleTarekat Dan Tasawuf Sinonim
Next articleZikir Perdana Beralun Di Masjid Putra