Wawasan 2020 Tidak Akan Dicapai, Kata Salleh Kepada Tun M

1334
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menerima realiti dan sedar yang Wawasan 2020 tidak akan boleh dicapai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang Malaysia tidak lagi dikagumi seperti mana sebelum ini dan ketika itu tiada siapa yang ragu dengan hasrat menjadi negara maju menjelang 2020.

Bagaimanapun, Salleh dalam posting di blognya hari ini, berkata bekas perdana menteri itu kini kelihatan seperti cuba meletakkan kesalahan itu di atas bahu orang lain.

Mengenai Wawasan 2020, beliau berkata, Dr Mahathir gagal mengambil kira krisis kewangan apabila mencetuskan idea itu, sambil menambah, kesilapan itu membuatkan rancangan itu kini mustahil direalisasikan.

“Dr Mahathir tidak mengambil kira kemungkinan itu pada masa itu dan sedekad kemudian pada 1997, ia berlaku sekali lagi.

“Rancangan itu dicadangkan untuk satu keadaan yang ideal, tetapi 1986 dan 1997 membuktikan, tidak ada situasi yang boleh dikatakan keadaan yang ideal.

“Jadi, Wawasan 2020 tidak lagi mungkin terjadi. Jadi, dia mahu mencari seseorang untuk dipersalahkan, daripada menerima hakikat dia yang salah dan rancangannya itu tidak benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Dr Mahathir – tiada siapa yang ragu dengan hasrat menjadi negara maju menjelang 2020 – adalah semata-mata bertujuan mengelak daripada mengambil tanggungjawab atas kegagalan itu dan menyalahkan orang lain atas kegagalan itu.

Dr Mahathir sebelum ini pernah beberapa kali menyebut tentang kemungkinan Malaysia gagal merealisasikan Wawasan 2020, pertamanya jika pencapaian ekonomi semasa dan tahap pengetahuan dalam pelbagai bidang tidak dipertingkatkan, dan ke-2 kerana masalah ekonomi yang menjejaskan ringgit dan pasaran saham.

Beliau juga berkata, pada Jun lalu, Malaysia tidak akan berjaya mencapai Wawasan 2020 dan menjadi negara maju dalam masa 5 tahun akan datang kerana ia tidak mempunyai kepimpinan yang diperlukan dan tidak meletakkan keutamaan pada tempatnya. – INSIDER