Wawasan 2020 Akan Tidak Tercapai – Tun M

1484
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia tidak akan menjadi negara maju pada 2020, seperti yang dibayangkannya kerana masalah ekonomi yang menjejaskan ringgit dan pasaran saham.

Beliau memberitahu majalah The Diplomat dalam satu temu bual disiarkan semalam Malaysia tidak akan mencapai impian Wawasan 2020 – yang merupakan idea beliau – dalam tempoh 5 tahun, memandangkan situasi sekarang dengan pentadbiran memberi lebih tumpuan kepada survival politik.

Dr Mahathir mengilhamkan Wawasan 2020 pada 1991 ketika beliau menjadi perdana menteri.
“Oleh itu, kita tidak akan mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Tidak pada masa sekarang.

“Anda boleh lihat penyusutan nilai wang, pasaran saham berada dalam keadaan tidak baik, rakyat secara amnya tidak berpuas hati,” katanya.

Dr Mahathir berkata, negara terhenti kerana pengendalian yang tidak betul, dengan tumpuan bukan kepada pembangunan ekonomi tetapi survival politik.

“Setiap perdana menteri mahu selamat, dan yakin mereka akan terus selamat dengan memainkan isu-isu lain berbanding menumpukan kepada pembangunan ekonomi.

“Dan oleh itu pertumbuhan perlahan. Dan apabila terdapat ketegangan kaum, pentadbiran yang tidak baik, rasuah, dan sebagainya, ekonomi mengecut,” katanya yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

Ringgit berada pada prestasi paling teruk berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dan parti yang memerintah bersama-sama dengan Datuk Seri Najib Razak sedang bermasalah dengan skandal seperti hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima daripada penderma dari Timur Tengah, begitu juga dengan ketegangan kaum semakin meningkat.

Pada Jun dan Ogos, Dr Mahathir menimbulkan keraguan Malaysia akan mencapai matlamat status pembangunan dalam tempoh 5 tahun kerana kekurangan kepimpinan dan keutamaan tidak pada tempatnya.

Dr Mahathir berkata pencapaian terbesar beliau selama 22 tahun tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri adalah tiadanya pergaduhan antara kaum.

Sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat, beliau berkata tiada konflik antara kaum begitu serius sehingga tercetusnya pertempuran semasa beliau memegang jawatan. – INSIDER

SHARE
Previous articleHillary Clinton Tidak Sokong TPPA
Next articleKenyataan Majlis Raja-Raja Tentang 1MDB Selari Dengan Kerajaan – Rahman Dahlan