Wasatiyyah, Moderation Dan Cita-Cita Liberal

28
0
SHARE

Oleh: S.M. Zakir

 

Idea kesederhanaan dikemukakan dalam memberikan pegangan dan prinsip kepada Malaysia menghadapi suasana global hari ini. Ia membentuk hala tuju Malaysia dalam menangani suasana global yang dipenuhi dengan idea dan tindakan melampau, paling utamanya ialah ancaman keganasan. Dalam pada itu ia menegaskan tentang pendirian serta pegangan Malaysia dalam menjalinkan hubungan dengan negara, institusi dan organisasi di peringkat antarabangsa. Ia menjadikan Malaysia sebuah negara berkecuali yang berpendirian sederhana dalam apa jua keadaan.

Ini meletakkan Malaysia antara negara yang paling berdiplomatik dan mempunyai hubungan baik dengan semua di negara di dunia. Sikap sederhana Malaysia bukan sahaja meliputi pendirian politik tetapi juga pendirian ekonomi, sosial dan budaya. Paling penting di sini ialah memperlihatkan sikap tegas Malaysia terhadap idea pelampau yang banyak menimbulkan keonaran dan kerosakan dengan tindakan militan dan kekerasan. Idea kesederhanaan ini menjadi benteng dan kubu kepada fahaman melampau dan militan yang merosakkan keamanan masyarakat dan negara.

Idea kesederhanaan ini dijelaskan melalui konsep wasatiyyah yang amat sesuai dan bertepatan lantaran Malaysia ialah sebuah negara dengan Islam sebagai agama rasminya, serta mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan agama. Wasatiyyah membawa makna kesederhanaan dan mengambil jalan tengah, ke arah mencari penyelesaian yang bijaksana dalam mencapai kecemerlangan hidup serta kejayaan. Prinsip wasatiyyah berpegangan erat dengan Syariah Islam dalam melahirkan ummatan wassatan, yakni masyarakat contoh yang maju dan aman.

Ia bukan sahaja khusus kepada masyarakat Islam tetapi juga meliputi masyarakat bukan Islam yang hidup saling menghormati. Hal ini amat bertepatan dengan Malaysia sebagai Dar al-Salam (negara yang aman), yakni negara yang terbentuk daripada populasi masyarakat Islam dan bukan Islam. Dar al-Salam bukanlah struktur tunggal yang terdiri daripada orang Islam semata-mata, tetapi terdiri daripada masyarakat majmuk Islam dan bukan Islam. Dar al-Salam adalah konsep negara yang terbuka kepada sesiapa sahaja menyertainya dengan bersetuju untuk memelihara keamanan dan kemajuan.

Apabila idea kesederhanaan ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, ia tidak menggunakan istilah wasatiyyah memandangkan istilah ini kononnya tidak difahami oleh golongan moden dan urban terutamanya masyarakat bukan Islam yang sepertikan fobia dengan apa-apa yang berbunyi Islam dan arabik. Maka ia menggunakan  istilah ‘moderation’, yang secara harafiahnya membawa makna yang sama dengan idea kesederhanaan. Jika diterima dan difahami secara umum ‘moderation’ boleh dikatakan membawa makna yang paling hampir dengan idea kesederhanaan, dan boleh diterimapakai.

Bagaimanapun istilah moderation ini mempunyai konotasi dan konteks yang berbeza dengan makna wasatiyyah dalam ertikata sejarah serta falsafahnya. Istilah ini lebih membawa konotasi liberal, dalam ertikata fahaman kebebasan yang menegaskan hak-hak sosial berasaskan prinsip sekular Barat. Ini sekaligus menolak nilai-nilai agama, terutamanya Islam yang dilihat ‘bercanggah dan berseteru’ dengan nilai kebebasan sekular. Cita-cita kesederhanaan yang diasaskan kepada nilai-nilai Perlembagaan yang menetapkan bahawa Malaysia adalah negara yang memegang nilai-nilai beragama dengan agama rasminya adalah agama Islam, ditenggelamkan oleh cita-cita liberal yang menolak nilai beragama.

Sikap pluralisme yang terkandung dalam pengertian wasatiyyah juga berbeza dengan pengertian moderation. Jika yang pertama melihat pluraliti masyarakat dalam asas Perlembagaan dengan hak berbeza antara peribumi dan bukan peribumi, yang kedua menolak asas Perlembagaan dan berjuang untuk kesaksamaan semua yakni secara halusnya berjuang menghapuskan hak istimewa peribumi. Jika yang pertama melihat kebebasan beragama tetap meletakkan ketinggian Islam sebagai agama rasmi Perlembagaan, yang kedua melihat semua agama adalah sama termasuk Islam dan harus diberikan hak yang sama, sekaligus merupakan perjuangan halus untuk menghapuskan sistem perundangan Mahkamah Syariah secara total dan hanya ada Mahkamah Sivil.

Di sini muncul dua wajah faham kesederhanaan di Malaysia hari ini. Satu faham yang melihat kesederhaan dalam konsep wasatiyyah yang Islamik-holistik dan satu faham yang melihat kesederhanaan dalam konsep sekular yang pluralistik. Pendekatan untuk menerima kesederhanaan dalam faham egaliter dan pluralisme menimbulkan rasa tidak selesa kepada pihak lain terutamanya umat Islam. Ini kerana kesederhanaan atau ‘moderation’ yang diusahakan oleh pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjaja idealogi liberal. Ini termasuklah bersikap memperkecilkan pandangan Islam, dan mempromosi idea pluralisme untuk menyamakan semua agama sebagai kebenaran yang sama. Lebih daripada itu mempromosi idea hak asasi sekular yang menerima hak semua termasuk golongan LBGT sebagai hak yang harus dihormati dan diterima dalam masyarakat.

Sejak akhir-akhir terdapat golongan tertentu yang menggunakan medium media massa berbahasa Inggeris dan vernakular sama ada bercetak mahupun dalam talian untuk memprojeksikan moderation yang dibawa ke arah acuan liberalisme ini, sebagai selari dengan agenda negara. Projeksi besar-besaran ini semakin menenggelamkan konsep wasatiyyah yang sebenar, dan menggantikannya dengan agenda liberal yang terarah kepada cita-cita besar membina masyarakat tanpa ada peribumi dan bukan peribumi, persamaan hak semua agama dengan maksud semua agama adalah benar sekaligus meruntuhkan Islam sebagai agama rasmi negara, serta menjulang hak asasi sekular yang meruntuhkan institusi kekeluargaan dengan memperjuangkan hak LBGT.

Sepertimana yang diketahui liberalisme adalah perjuangan untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu agama dan tradisi, dengan meletakkan satu nilai sejagat yang dibentuk oleh acuan sekularisasi Barat. Idea kesederhanaan yang dibentuk dalam cita-cita wasatiyyah adalah penegasan tentang hak dan aturan yang berasaskan nilai-nilai tempatan. Walaupun ia mencari keselarian dengan nilai sejagat, tetapi ia tetap berdiri atas nilai aslinya yang tersendiri. Lantaran itu idea kesederhanaan dalam konteks wasatiyyah ini mencari nilai yang paling sejagat dalam Islam untuk dipadankan dengan konteks semasa dan memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Namun idea kesederhanaan yang diprojeksikan dalam konteks dan makna moderation telah dibawa lari ke arah yang lain dan menjadi sesuatu yang sama sekali bertentangan dengan idea kesederhanaan yang dibawa oleh konsep wasatiyyah. Ia seperti sedang mengelirukan cita-cita negara dengan agenda liberal yang pada hakikatnya bertentangan dengan cita-cita negara yang dibentuk oleh asas Perlembagaan yang luhur. Keluhuran ini terbentuk oleh masyarakat beragama, mempunyai hak sejarah dan tradisi yang mempertahankan hak peribumi, serta percaya kebebasan yang adil adalah persaingan di atas padang yang sama rata. Malangnya kaum liberal yang menyelewengkan idea kesederhanaan ini ke arah agenda sekularisasi lebih berminat kepada munculnya golongan kecil menengah atas yang berkuasa dan mempunyai segalanya ke atas majoriti yang tidak mempunyai apa-apa.

Wasatiyyah dan moderation dilihat sebagai dua muka dalam syiling yang sama, pada hakikatnya adalah palsu.