Wasatiyah Dalam Kurikulum Sekolah, Universiti – Najib

23
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menyisipkan konsep wasatiyah atau kesederhanaan dalam kurikulum sekolah dan universiti, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia selaras usaha kerajaan untuk menangani penularan fahaman ekstremis dan kegiatan militan yang semakin mengancam minda rakyat di seluruh negara.

“Kalau kita kaji selidik semua agama, setiap daripadanya mempunyai amalan yang boleh digambarkan sebagai universal meskipun kita berbeza pegangan akidah.

“Bagaimanapun, kebersamaan nilai dalam semua fahaman agama seperti Buddha dan Kristian dengan menitipkan kesederhanaan adalah aspek yang perlu diberi penekanan.

“Oleh itu, saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat bahawa kita perlu usahakan nilai ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Othman mencadangkan kerajaan memasukkan konsep wasatiyah dalam kurikulum sekolah dan universiti memandangkan nilai itu menjadi antara teras pegangan semua agama di negara ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh), Najib berkata, cabaran terbesar kerajaan ketika ini adalah untuk menyuntik naratif sebenar dalam kalangan rakyat yang sering dimomokkan dengan pelbagai elemen negatif.

Perdana Menteri berkata, langkah itu sukar kerana benih kebencian, amarah, permainan minda dan emosi lebih mudah meracuni pemikiran masyarakat, berbanding amalan kesederhanaan.

“Sehubungan itu, kita mesti berganding bahu untuk memikul tanggungjawab ini tanpa mengira sempadan parti politik, baik pembangkang dan kerajaan supaya mempunyai matlamat yang sama,” katanya.

SHARE
Previous articleKerajaan Tanggung Rawatan, Kebajikan Mangsa Culik – Najib
Next articlePolitik Bukan Platform Buru Kuasa – Sultan Selangor