Wartawan Perlu Jujur Sampaikan Berita – TPM

460
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan Foto: Muhammad Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Golongan wartawan diakui memainkan peranan penting dalam pembinaan negara dan bangsa.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui tulisan juga golongan wartawan dapat membangkitkan kesedaran, memuji, mengkritik secara membina, mempertahankan kebaikan dan berupaya meruntuhkan kejahatan.

“Pembentukan peribadi nasional oleh para wartawan pada zaman awal kemerdekaan menjadi antara harapan kerajaan, diharapkan ia dapat terus menjadi aspirasi kaum penulis di negara ini pada zaman era baru ini.

ZAHID_WARTAWAN“Wartawan di Malaysia perlu terus menyumbang untuk melahirkan masyarakat bermaklumat yang merupakan antara tanggungjawab terpenting kewartawanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, wartawan di Malaysia tidak boleh berkarya menggunakan kaca mata barat dengan bertopengkan orang luar dan berasaskan nilai-nilai sejagat semata-mata.

Katanya, berkarya di Malaysia hendaklah dengan kefahaman untuk membina, positif, bermaruah, berdasarkan panduan dan kebijaksanaan tempatan serta berjiwa Malaysia.

“Para wartawan dalam peranan mereka yang pelbagai dimensi kena berhati-hati supaya tidak menjadi penyampai mesej yang mengadu domba, memesongkan isu dan menimbulkan kacau bilau.

“Jadilah wartawan yang objektif, jujur, dinamis dan peniup ketenangan. Janganlah jadi wartawan yang kering jiwa dan tidak nasionalistik,” katanya lagi.