Warga Kerja Syabas Sedia Ada Dikekalkan – Azmin

48
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Warga kerja sedia ada di Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan dikekalkan walaupun syarikat itu melalui proses pengambilalihan oleh Kerajaan Negeri 15 Oktober lepas, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

“Walaupun di bawah pengurusan baru, kami memberi jaminan warga kerja sedia ada tetap dikekalkan,” kata Azmin dalam ucapan  selepas lawatan kerja pertamanya ke Syabas sejak pengambilalihan, hari ini.

“Saya telah diberi taklimat mengenai model perniagaan serta strategi yang akan diambil syarikat untuk menawarkan perkhidmatan bekalan air yang holistik, mesra rakyat dan cekap,” kata Azmin.

Tambah beliau, usaha akan diteruskan pengurusan baharu bagi memastikan Selangor tidak akan berdepan krisis air.

Sementara itu, Azmin turut menyentuh pembinaan dua lagi loji rawatan air di Selangor.

“Satu akan dibina di Labuhan Dagang, Kuala Langat manakala satu lagi di Semenyih,” kata Azmin.

Menurut beliau, pembinaan loji ini adalah untuk menampung keperluan domestik pada masa akan datang.

“Dengan tertundanya projek Langat 2, pembinaan loji ini adalah penting bagi mengelakkan negeri ini menghadapi satu lagi krisis air,” jelas Azmin.

Pembinaan loji tersebut diumumkan dalam pembentangan  Belanjawan 2016 Negeri Selangor.

Projek itu dijangka dibangunkan dengan anggaran kos RM778 juta.