Wajarkah Cetus Provokasi Ketika Merdeka ? – Najib

291
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat Malaysia mempertimbangkan sama ada wajar atau tidak Bersih 4 diadakan hujung minggu ini di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, memandangkan ia akan bertembung dengan sambutan Hari Merdeka.

Beliau tidak menyebut secara khusus mengenai program anjuran pemantau pilihan raya Bersih 2.0 itu, tetapi mengatakan terdapat perhimpunan yang bakal berlangsung 29 dan 30 Ogos ini di tempat yang sama persediaan menyambut hari ulangtahun kemerdekaan sedang diadakan.

Najib menerusi blognya najibrazak.com berkata, penghormatan seharusnya diberikan kepada ramai yang berhak menerima penghargaan menjelang sambutan ulangtahun hari kemerdekaan yang ke-58 itu.

“Namun, kita semua sedia maklum sebuah perhimpunan tunjuk perasaan dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan hari kemerdekaan akan dijalankan.

“Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi.

“Walau apa pun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik,” kata Najib dalam posting terbarunya hari ini.

Sambil menegaskan hari kemerdekaan seharusnya dihormati, Najib turut menyeru agar perbezaan fahaman politik diketepikan.

“Ia hari di mana semua rakyat mengetepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cinta akan negara.

“Daripada wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan, hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan hari kemerdekaan kita?” soal Najib.

Meskipun diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), penganjur Bersih 4 berkata ia akan meneruskan perhimpunan itu.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata siasatan KDN mendapati Bersih 4 bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah serta membangkitkan kebimbangan rakyat Malaysia.

Bersih 4 juga didapati menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan. – INSIDER

SHARE
Previous articleAhli UMNO Fail Saman Terhadap Najib
Next articleKrisis Matawang Beri Kesan Buruk Kepada Negara – PKR