Visi Abang Johari Laksana Ekonomi Digital Dipuji

17
0
SHARE

KUCHING: Visi dan inisiatif Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melaksanakan ekonomi digital dan teknologi dengan mencontohi kejayaan inisiatif e-kerajaan Estonia, dipuji.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini menguasai dunia dan usaha untuk menjadikan Sarawak setara dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah dalam bidang itu jelas merupakan visi yang praktikal dan bijak.

“Menjadi kompeten dalam ekonomi digital pasti akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat pada masa depan,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Jamit juga berkata Bajet Sarawak 2018 mencerminkan komitmen ketua menteri dan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai program dan projek yang sekaligus bakal meningkatkan ekonomi rakyat.

Katanya, bajet itu juga menyokong visi kerajaan negeri untuk memaksimumkan potensi teknologi digital apabila memperuntukkan RM1 bilion bagi infrastruktur dan program digital di bawah inisiatif Ekonomi Digital Sarawak untuk merealisasikan harapan ketua menteri bahawa satu hari nanti Sarawak akan dikenali sebagai s-Sarawak atau Smart Sarawak.

Jamit turut menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membantu pekebun kecil dan petani menerusi peruntukan RM223 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek dalam Bajet 2018.

Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1 juta untuk kerja menaik taraf dan membaik pulih sekolah daif di negeri ini termasuk di kawasan diwakilinya.

Terdahulu, pada sesi soal jawab, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing semasa menjawab soalan Chiew Chiu Sing (DAP- Tanjong Batu) berkata kemajuan keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo berjalan lancar dan dijangka siap pada 30 Jun 2021 seperti dijadualkan.