Visa Pelajar Diguna Untuk Edar Dadah

61
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Helah menyorokkan dadah dalam peralatan sukan “Smart Balance Wheel” gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dua lelaki warga asing ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kajang pada Isnin lalu, disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah.

Dalam operasi yang bermula pukul 1.20 tengah hari dan berakhir pada pukul 2 petang, anggota polis daripada Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) merampas 10 peralatan sukan itu serta 20 paket dadah jenis syabu seberat 10.2 kilogram dianggarkan bernilai RM2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dua suspek yang ditahan ialah warga Nigeria dan Republik De Guinea masing-masing berumur 35 dan 37 tahun.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang suspek lelaki Nigeria yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan di Kajang.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas kenderaan suspek, polis menjumpai 10 peralatan sukan berkenaan yang di dalamnya disorokkan syabu di bahagian roda bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, di sini Khamis.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya percaya bahawa kesemua dadah itu diperolehi dari China untuk pasaran tempatan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan daripada suspek pertama, polis menahan seorang lagi suspek lelaki warga Republik De Guinea di sebuah rumah di Taman Sepakat Indah, Kajang yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang ditahan memasuki negara ini menggunakan visa pelajar.

“Sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 130 warga Nigeria yang ditahan bagi tempoh Januari hingga 22 Nov tahun ini kerana terlibat dalam pengedaran dadah memasuki negara ini menggunakan visa pelajar,” katanya.

Katanya kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan STING kerana berjaya membanteras kegiatan sindiket berkenaan di laman rasmi Twitternya.

“Syabas STING @PDRMsia tangkap dua orang pelajar, warga Rep Guinea  and  Nigeria di Sungai Chua Kajang, rampas 10 kilogram syabu disorok dalam Alat sukan #GoPDRMGo,” katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata dadah pelbagai jenis bernilai RM227 juta berjaya dirampas dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

Katanya sebanyak 164,450 orang termasuk 6,293 warga asing ditahan berkaitan kes dadah dalam tempoh berkenaan.