“Video Bocor?” : Muhyiddin Kata Najib Mengaku RM2.6b Masuk Akaunnya

319
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Satu klip video yang kononnya dibocorkan kemudian tersebar ke Internet, di mana rakaman perbualannya pula tidak dapat didengar dengan jelas, dikatakan antara lain memngandungi pengakuan Datuk Seri Najib Razak bahawa RM2.67 bilion dimasukkan ke akaun banknya.
The Malaysian Insider menulis, dalam video itu, Muhyiddin kelihatan sedang memberitahu tetamu di rumahnya malam tadi, beliau bersemuka dengan Najib berhubung laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa didepositkan ke akan peribadi perdana menteri itu.

“Saya tanya dia (Najib) daripada siapa? Dia tak sebut nama, tetapi dari Timur Tengah. Berapa banyak? Lepas itu dia kata, susah nak kata, dia kata ‘a lot, a lot’.

“Kemudian saya kata, kenapa masuk akaun anda? Kenapa masuk akaun Najib Razak? Duit berapa? AS$700 juta.
“Kalau anda kali dengan 3 (tiga perpuluhan)… RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadinya. Ini dia sebut, dia mengaku,” kata Muhyiddin dalam video itu.

Video itu terus berakhir sebaik selepas Muhyiddin berkata, “jadi, saya kata kenapa anda letak dalam akaun peribadi anda”.

MUH_MUKDalam video itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilihat duduk bersebelahan dengan Muhyiddin.
Mukhriz menziarahi bekas timbalan perdana menteri itu di rumahnya semalam, hari yang sama Najib merombak Kabinet dan menyingkirkan Muhyiddin.

Muhyiddin dipecat 2 hari selepas beliau berucap di mesyuarat Umno Bahagian Cheras, mengatakan laporan WSJ satu perkara serius yang perlu dijelaskan oleh Najib.

Najib berkata, anggota Kabinet tidak sepatutnya meluahkan perbezaan pendapat mereka dalam forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap negara dan kerajaan.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengesahkan perbualan dalam video itu.
“Saya tidak mahu komen mengenainya. Ia perbualan tertutup. Ia tidak sepatutnya dirakamkan. Mukhriz sudah minta mereka di situ tidak merakamnya,” kata Kadir dipetik sebagai berkata kepada portal berita itu.

The Malaysian Insider meminta pengesahan daripada salah seorang pegawai Muhyiddin berhubung video itu, tetapi ia masih belum berjawab.

Mukhriz dalam satu kenyataan di laman webnya awal hari ini berkata, beliau menerima keputusan perdana menteri merombak Kabinet kerana ia adalah kuasa prerogatif beliau.

Beliau berterima kasih kepada Muhyiddin, yang juga bekas menteri pendidikan, kerana membantu pembangunan sekolah di Kedah.

Mukhriz berkata, beliau dan Muhyiddin tidak membincangkan sebarang perkara penting yang lain.

Awal bulan ini, WSJ dan laman web pendedah maklumat Sarawak Report melaporkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan daripada 1MDB ke dua akaun bank Ambank di bawah nama Najib pada Mac 2013.

Perdana menteri bagaimanapun menafikan mengambil wang daripada 1MDB untuk “kepentingan peribadi,” tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai pindahan wang itu. Akaunnya yang didakwa menerima wang itu dikatakan telah ditutup sejak pendedahan itu. Petikan dari The Malaysian Insider