“Vape” Mengandungi Nikotin Akan Diambil Tindakan – KKM

170
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan kepada penjual dan pengguna rokok elektronik yang mengandungi nikotin sepertimana tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam),  Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kajian di pihaknya turut mengesyorkan kepada kerajaan agar mengharamkan penggunaan rokok elektronik.

“Bagi memudahkan pemahaman, KKM mentakrifkan rokok elektronik yang mengandungi nikotin sebagai e-rokok manakala rokok elektronik yang tidak mengandungi nikotin sebagai ‘vape’.

“Penjualan dan penggunaan cecair e-rokok yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan Kawalan Tembakau 2004,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Lokman, hanya ahli farmasi berlesen dalam premis berlesen sahaja boleh menjual produk yang mengandungi nikotin bagi tujuan membantu memulihkan ketagihan nikotin.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Kesan Rokok Elektronik dan Shisha Terhadap Kesihatan, Prof Datuk Dr Abdul Razak Mutallif berkata, walaupun tiada nikotin dalam ‘vape’, trend baru ini menghasilkan ketagihan baru dalam masyarakat.

“Kajian yang kita lakukan mendapati banyak kesan jangkamasa panjang bakal mengundang kanser baharu di masa depan,” katanya.

Kementerian Kesihatan mengesyorkan kerajaan agar mengambil tindakan mengharamkan rokok bagi mengelak pelbagai penyakit baru di masa akan datang.

Namun ia terpulang kepada kuasa menteri dan keputusan kabinet dalam membuat keputusan.- AWANI