Undi Sampah PRU13 – Perspektif Malaysia

247
0
SHARE

Pada PRU-3 tahun 1969 BN (dulunya Perikatan) hanya memenangi 60 peratus iaitu 95 daripada 144 kerusi Dewan Rakyat dan 162 daripada 282 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan tewas di Kelantan dan Pulau Pinang. Undi popular pula jatuh ke paras 49.3 peratus. Berbanding PRU 1959 dan 1964, prestasi BN merosot hampir 50 peratus. Untuk pertama kali BN kehilangan majoriti di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di Perak dan Selangor.

Undi popular BN sebelum PRU-13 ialah 51.7 peratus (1959), 58.5 peratus (1964), 49.3 peratus (1969), 60.7 peratus (1974), 57.2 peratus (1978), 60.5 peratus (1982), 55.8 peratus (1986), 53.4 peratus (1990), 65.2 peratus (1995), 56.5 peratus (1999), 63.9 peratus (2004), 52.2 peratus (2008) dan 47.7 peratus (2013). Namun BN mendapat perwakilan yang lebih ramai di Dewan Rakyat bermula 1959 dengan mendapat 74 daripada 104 kerusi Parlimen iaitu mewakili 71.1 peratus, 85.6 peratus (1964), 66 peratus (1969), 87.7 peratus (1974), 84.5 peratus (1978), 85.7 peratus (1982), 83.6 peratus (1986), 70.5 peratus (1990), 84.4 peratus (1995), 76.7 peratus (1999), 90.4 peratus (2004), 62.6 peratus (2008) dan 59.9 peratus (2013).

Walaupun terdapat pelbagai ulasan pro dan kontra pasca PRU-13, realitinya PRU kali ini menunjukan demokrasi Malaysia bertambah subur dengan sejarah peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 84.84 peratus, pengundi baru pertama kali paling ramai sebanyak 2.3 juta, penyertaan calon bertanding pilihan raya paling ramai dengan 1,900 pencalonan, pertama kali tiada calon menang tanpa bertanding dan pilihan raya tersengit sehingga melibatkan pertandingan tiga hingga tujuh penjuru. Ini semua memberikan pilihan dan peluang lebih baik kepada rakyat.

Hasil keputusan PRU-13 yang lalu dengan kedudukan hampir seimbang sewajarnya menyedarkan pemimpin dan parti politik untuk menggalakan penyertaan lebih ramai dalam PRU. Pada edisi PRU bulan lalu terdapat 2 juta pemilih tidak keluar mengundi dan 3.3 juta lagi tidak mendaftar sebagai pemilih menjadikan keseluruhannya 5.3 juta rakyat Malaysia. Jumlah sebesar ini boleh menjadi kuasa ketiga antara BN dan PR, di mana jika mereka mengambil bahahagian maka dipercayai akan memberikan kemenangan lebih besar dan kuat kepada parti yang berkenaan.

Ramai sarjana meletakkan penanda aras partisipasi masyarakat sivil sebagai pra syarat demokrasi. Pilihan raya bukan sahaja bertujuan memilih calon atau parti tertentu bagi mengisi jawatan awam atau membentuk kerajaan. Ia juga bertujuan menyokong kestabilan politik, sistem demokrasi dan pendemokrasian. Kegagalan pilihan raya dan demokrasi berfungsi dan dihormati boleh membawa kepada tindakan anarkis, radikal dan revolusi.

Bagi mengelakkan sentimen anti demokrasi maka sudah sampai masanya untuk keputusan PRU-13 diterima dan diabsahkan secara perundangan dan moral. Kerajaan yang baru dibentuk sebulan lalu sama ada di peringkat negara dan negeri perlu diberikan peluang untuk menunaikan tanggungjawab dan mandat yang diterima oleh majoriti rakyat melalui perwakilan mereka di Dewan rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Menyedari hakikat itu, pembaharuan SPR antara lain wajar memfokus kepada usaha meramaikan penyertaan rakyat dalam pilihan raya dengan mekanisme mesra pemilih. Jika tidak, pilihan terbaik BN dan PR untuk melegitasikan keputusan PRU akan datang ialah dengan menggerakkan kempen pendaftaran pemilih di kalangan rakyat Malaysia. BN mungkin boleh berkempen dengen tema “1Undi, 1Malaysia” dan PR dengan tema “Merakyatkan Undi” supaya keputusan PRU-14 selewat-lewatnya pada 2018 adalah muktamad dan tidak mencetuskan keadaan tidak menentu seperti pasca 1969, 2008 dan 2013.

-FAIZAL RIDUAN