Undi BN Untuk Nikmati Pembangunan – Ku Nan

107
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku beliau sebenarnya enggan membuat jalan dan jambatan di kawasan Parlimen Batu yang dikuasai pembangkang.

Namun, kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, projek jalan dan jambatan bernilai RM20 juta itu diteruskan kerana Barisan Nasional (BN) kerajaan prihatin untuk semua rakyat.

Katanya, projek itu diteruskan juga kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa.

“Kalau ikutkan hati saya pun tidak mahukan projek ini , saya bagi kawasan kepada kawasan Barisan Nasional sahajalah.

“Tetapi oleh kerana karajaan ini (BN), kerajaan yang prihatin dan Perdana Menteri yang ingin lihat rakyat mendapat keselesaan.

“Maka kita bangunkan (program yang menelan) belanja lebih RM20 juta untuk adakan penyambungan sebelah sana hingga sebelah sini (pembukaan jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Batu Muda ke Taman Metropolitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pembukaan Jalan dan Jambatan Yang Menghubungkan Kampung Batu Muda Ke Taman Metropolitan Batu hari ini.

Tengku Adnan atau Ku Nan berkata, dengan pembukaan jalan dan jambatan itu, pengundi di Parlimen Batu perlu memberi peluang kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRK-14) akan datang.

Katanya, penduduk Batu akan mendapat nikmat pembangunan jika memilih BN sebagai Ahli Parlimen.

“Saya harap berilah peluang kepada calon Barisan Nasional untuk mewakili Batu,” katanya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu sejak 2008.