UMNO Tidak Kebal – Syed Ali

105
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Abbas Alhabshee mengingatkan pemimpin parti itu di setiap peringkat tidak “tidur lena” kerana menggagap Umno sentiasa kebal.

Ketua Umno Cheras itu berkata, parti komponen BN yang lain juga harus mempunyai iltizam menambah baik agenda perjuangan agar keyakinan rakyat tidak terhakis seperti dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Jangan kita beranggapan Umno khususnya BN sentiasa kebal sehingga ada di kalangan kita berpeluk tubuh.

“Sebaliknya kita perlu melihat kepada realiti semasa betapa asakan pembangkang semakin agresif untuk menumbangkan BN pada PRU akan datang,” katanya yang juga setiausaha Badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.

Beliau mengingatkan supaya pemimpin Umno bekerja keras dan teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi.

Syed Ali membangkitkan “ancaman politik bentuk baru” yang banyak dipengaruhi sentimen generasi muda.

“Generasi muda perlu sentiasa disemaikan dengan benih-benih patriotik dan erti perjuangan UMNO mengangkat martabat serta maruah orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Beliau juga membangkitkan cabaran fakta yang didakwa diputar belit dengan semakin agresif di alam maya.

“Pembangkang akan guna apa sahaja untuk memesong perhatian rakyat supaya tercetus kebencian dan kegusaran terhadap Umno dan BN selaku parti pemerintah,” ujarnya di blog Umno Cheras.