UMNO Tidak Akan Mati Selagi Melayu Berkuasa – Syed Ali

49
0
SHARE

KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan mati selagi orang Melayu menjadi pengundi majoriti dalam negara ini.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee Syed Ali, yang menambah orang Melayu sudah muak dengan kerenah politik parti pembangkang yang hanya mementingkan kuasa tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

Menurut Syed Ali, majoriti orang Melayu dan umat Islam di negara ini tidak mudah menukar keyakinan mereka walau diasak permainan persepsi pembangkang.

“Keyakinan UMNO sentiasa tinggi kerana orang Melayu cukup sinonim dengan perjuangan parti mengangkat maruah dan martabat mereka,” katanya dalam entri terbarunya di umnobahagiancheras.blogspot.my.

Namun begitu, Syed Ali menegaskan UMNO masih perlu bekerja keras menepis terjahan pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“UMNO kena lebih agresif dan bekerja kuat untuk menepis dan membetulkan persepsi negatif hasil daripada manipulasi pelbagai isu dilakukan pembangkang,” jelasnya.

Pada masa sama, pemimpin UMNO disarankan turun padang memberi penerangan kepada rakyat, terutamanya berkenaan isu yang menyentuh golongan miskin.

“Kita kena jumpa rakyat terutama golongan sasaran di peringkat akar umbi, kumpulan ini kadangkala tidak mendapat penjelasan tepat, mereka hanya terdedah kepada maklumat disalurkan pembangkang. – FMT