UMNO Selangor Tak Tipu Najib – Noh Omar

121
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menafikan Umno Selangor ‘menipu’ presiden parti itu melalui program besar-besaran yang dianjurkan pada pilihan raya umum ke 13 lalu.

Katanya, menjadi amalan biasa bagi mana-mana parti politik untuk mengumpulkan anggota bagi menunjukkan sokongan sekiranya pemimpin mereka turun padang berjumpa orang ramai.

“Dulu budaya Umno suka buat program besar-besaran. Sekali pemimpin turun, 10,000 orang turun. Besok turun lagi, 10,000 lagi turun.

“Bila kita periksa, orang itu sahaja yang turun.

“Kita boleh nak hantar satu bahagian (guna) 20 bas (ke program Umno, bila-bila masa.

“Bagi duit, bagi bas, mereka (Umno bahagian) hantarlah. Kemudian Datuk Seri Najib kata kita tipu dia. Tetapi akhirnya, bila kita kumpulkan sampai 10,000 pun untuk apa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan ditipu dengan sokongan ditunjukkan pengundi di Selangor semasa pilihan raya umum lalu.

“Bukan (program) Datuk Seri Najib sahaja, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Datuk Seri) Azmin (Ali) pun sama. Bila turun satu-satu majlis, beribu orang datang, bila anda menjadi pemimpin bila tengok satu majlis beribu orang datang apa perasaan anda? Dapat sokongan ke tak dapat sokongan?

“Ini budaya di Malaysia, mana-mana pemimpin pun sama,” katanya lagi.

Sebuah portal baru-baru ini melaporkan kenyataan Najib bahawa beliau ditipu dengan jumlah sokongan yang ditunjukkan dalam kempen PRU di Selangor pada PRU lalu, namun akhirnya parti itu tewas di negeri itu.

“Saya pun kena tipu juga, ada tempat di Selangor buat program 30,000 orang datang. Kita ingat yang datang semua undi kita. Tapi bak kata orang, buat habiskan beras je.

“Saya nak kita kena tambah kerja usaha semak balik program. Saya akan bantu Umno Selangor. Sebagai presiden, saya akan bantu. Saya nak komitmen dari Umno Selangor dari segi program. Nilai balik,” kata Najib. – MK