UMNO Sedang Lalui Ujian Getir Tentukan Survival Parti – Hishammuddin

171
0
SHARE

LEDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein akui UMNO kini berdepan ujian getir yang akan menentukan survival parti itu pada masa depan.

Katanya, ujian itu juga tidak hanya menguji kepimpinan di atas tetapi juga turut membabitkan pendukung dan ahli parti di peringkat akar umbi.

“Jika kita tidak menangani ujian dan cabaran ini dengan segera, dengan matang dan dengan berkesan, kelak kita akan berpecah dan rebah menjadi bahan sejarah.

“Pengikut dan ahli parti akan diuji pada kesetiaan kepada parti. Diuji kepada rasa cinta dan kasih kepada parti. Diuji pada kesanggupan mempertahankan parti dan diuji pada keupayaan untuk menguruskan perselisihan atau bertindak sebagai pejuang yang ikhlas berkorban untuk parti.

“Hal (ujian) ini bukanlah sesuatu yang baharu kepada kita kerana ia pernah berlaku kepada pemimpin UMNO terdahulu dan Alhamdulillah, kita berjaya menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri; Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat.