UMNO Sabah Kukuh Walaupun Paling Bongsu – Hishammuddin

108
0
SHARE

TAWAU: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memuji UMNO Sabah kerana walaupun ia dianggap paling bongsu dalam pergerakan parti itu, kedudukannya amat kukuh.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, kekuatan UMNO Sabah dan UMNO, secara keseluruhannya perlu terus dipertahan dan diperkukuhkan kerana kekuatan parti itu amat penting bagi memastikan UMNO yang akan diwarisi generasi akan datang, adalah UMNO yang kuat.

“Kita mesti memastikan UMNO menjadi barisan yang kukuh dalam kita berdepan dengan pelbagai ujian pada masa akan datang,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama UMNO Zon 6 iaitu UMNO Bahagian Tawau, Kalabakan, Semporna dan Silam di Dewan Yayasan Lau Gek Poh Tawau, di sini.

Justeru Hishammuddin berkata, dalam menghadapi pelbagai ujian mendatang, anggota dan pemimpin UMNO perlu mengutamakan kepentingan parti terlebih dahulu dalam semua tindakan yang diambil.

Pada masa sama beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah dan sedang berusaha untuk menunaikan janji bagi memastikan Sabah mendapat aset keselamatan mencukupi bagi keselesaan rakyatnya.

“Apa yang kita janjikan bukanlah retorik semata-mata, tetapi janji yang telah ditepati,” tegas Hishammuddin. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Yusof Apdal.

Terdahulu, Tawfiq dalam ucapannya turut menegaskan, kerajaan Persekutuan amat prihatin terhadap keselamatan dan pertahanan di Sabah apabila membekalkan pelbagai aset pertahanan dan keselamatan ke negeri ini.

Katanya, ini membuktikan bahawa kerajaan pusat sentiasa mendengar dan prihatin dengan suara rakyat Sabah serta berharap keselamatan di negeri ini akan sentiasa terjamin.