UMNO Perlu Dengar Suara Rakyat Jika Mahu Menang PRU

231
0
SHARE

BENTONG: Pemimpin Umno perlu mendengar dan menilai suara rakyat di peringkat bawahan jika mahu parti menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dua perkara iaitu kepercayaan dan keyakinan juga perlu diberi perhatian khusus dan tidak boleh dipandang mudah oleh pimpinan parti.

“Cabaran dalam PRU 14 yang akan datang memerlukan penelitian dan pendekatan kita mendengar suara rakyat peringkat bawahan kerana dengan mereka kita berpaut.

“Kita adalah wakil kepada rakyat, tidak mungkin kita menang jika rakyat tidak sokong kita. Tanpa keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat, tidak mungkin kita terus berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bentong di sini, Sabtu.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Adnan Yaakob dan wakil perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin yang juga Ketua Umno Bahagian Raub.

Katanya, sebagai seorang bekas menteri yang pernah memegang Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, beliau sedar dengan masalah hidup orang kampung.

“Saya tahu, saya sedar selaku mantan menteri kampung saya jelajah di kampung-kampung, masalah hidup rakyat merupakan masalah penting yang perlu diatasi.

“Tidak cukup jika masalah ini hanya didengari tetapi juga harus diambil langkah mengatasinya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta semua anggota Umno agar lebih kerap turun padang dan mengetengahkan permasalahan rakyat tanpa perlu takut bersuara untuk tujuan itu.

Beliau juga dalam masa yang sama berikrar akan terus membantu rakyat walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.