UMNO Masih Ada Masa Untuk Ulang Kaji Kelemahan – Shahrir

346
0
SHARE

Tan Sri Shahrir Samad adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia politik tanah air. Selain Tengku Razaleigh Hamzah, orang lama yang kini masih bertahan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah beliau.

Dari 1978 hingga kini beliau ialah Ahli Parlimen bagi kawasan Johor Bharu.

Sejarah politiknya terlalu panjang bermula dari menjadi Setiausaha Politik kepada Tun Musa Hitam kemudian Allahyarham Tun Abdul Razak dan kemudiannya Allahyarham Tun Hussein Onn.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan Menteri dan yang terakhir hingga 2009 sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kini beliau mengetuai Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) iaitu badan yang menjadi payung kepada Ahli-ahli Parlimen BN yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan atau biasanya disebut ‘backbencher’.

Ikuti wawancara khas MySuara bersama beliau yang disediakan wartawan Khizairi Khizan berkaitan isu semasa negara.

Soalan : Tan Sri boleh dikatakan sebagai  orang lama dalam politik Malaysia dan pernah berkhidmat dibawah pemerintahan beberapa mantan Perdana Menteri sehinggalah sekarang yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagaimanakah Tan Sri melihat pentadbiran Datuk Seri Najib?

Jawapan : Bagi saya, Datuk Seri Najib adalah satu kesinambungan kepada Perdana Menteri terdahulu. Beliau menjadi penyambung dan memperkasakan lagi idea-idea Perdana Menteri sebelum ini dengan cara beliau sendiri. Saya suka mengambil contoh apa yang Tun Abdullah Ahmad Badawi mulakan semasa pemerintahan beliau dengan memfokuskan kepada pembangunan yang bukan sahaja di Lembah Klang dan Kuala Lumpur yang diperkenalkan sebagai pembanggunan koridor di mana adanya pembanggunan Wilayah Iskandar, Wilayah Timur, Wilayah Utara serta Sabah dan Sarawak yang mempunyai koridor masing-masing.  Jadi saya lihat Datuk Seri Najib lebih kepada meneruskan konsep pembanggunan wilayah di mana adanya keseimbangan dari segi perubahan dan pembanggunan wilayah itu sendiri dan tidak hanya tertumpu semata-mata di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Saya juga berpendapat pendekatan Datuk Seri Najib mudah difahami kalau ia dilihat dari segi pembanggunan yang inklusif dan ini menarik perhatian saya apabila dalam ucapan dasar mengenai Belanjawan Negara pada tahun lepas, yang ditegaskan Datuk Seri Najib ialah mengenai  ekonomi modal dan ekonomi rakyat iaitu satu kaedah yang mengambil kira keseimbangan antara ekonomi modal termasuk sektor swasta, pelaburan dan segala aktivirti ekonomi yang berterusan. . Jadi inilah satu-satunya pendekatan saya begitu teruja di bawah pentadbiran dan kepimpinan Datuk Seri Najib ditambah pula dimana kita lihat transformasi dari segi ekonomi negara.

Selain itu Datuk Seri Najib seorang yang memperkasakan lagi prasarana kepada rakyat. Jika kita lihat dahulu Tun Dr Mahathir mewujudkan Multimedia Super Corridor (MMC) yang mana pada masa itu teknologi maklumat (IT) ini hanya satu kehendak, namun pada masa ini IT bukan lagi kehendak malah ia satu keperluan dan termasuk dalam prasarana untuk rakyat. Oleh itu kita dapat lihat Datuk Seri Najib mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia di kawasan luar bandar bagi membolehkan kemudahan IT ini dinikmati pada semua peringkat masyarakat negara ini.

Soalan : Melihat kepada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, BN kekurangan majoriti manakala PRK Permatang Pauh pula jumlah undi kepada BN kurang berbanding Pilihanraya Raya Umum ke-13. Pada pendapat Tan Sri, adakah rakyat sudah mula menjauhi BN?

Jawapan : Dalam keadaan hari ini, memang banyak isu. Pada saya masih ada lagi masa untuk UMNO dan BN melihat kembali bagaimana hendak diuar-uarkan dari segi kejayaan dan kemampuan UMNO serta BN dalam menyentuh hati pengundi. Walaupun undi BN berkurangan di Permatang Pauh tetapi kita melihat juga bahawa majoriti yang diperolehi Pakatan Rakyat harusnya lebih besar tetapi tidak pun. Yang bertanding oleh PKR ialah presidennya sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.  Jika presiden sesebuah parti itu bertanding biasanya sokongan dan undi adalah mestilah lebih mantap, tetapi ini sebaliknya pula.

Nampaknya mereka pun tak teruja sangat, sebaliknya kalau kita lihat di Rompin pula yang merupakan kubu kuat BN perlu dikaji mendalam adalah soal mengapa pengundi dan rakyat Rompin telah beralih dari menyokong BN. Masih ada masa BN dan UMNO mengulang kaji melihat membuat ‘post mortem’ apakah sebab-sebabnya dan bagaimana hendak menambah baik kepada prestasi serta sokongan kepada BN kembali membuak.

Soalan : Kita lihat situasi sekarang kepimpinan Datuk Seri Najib dikritik bertubi-tubi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Apakah pandangan Tan Sri tentang kritikan Tun Dr Mahathir Itu?

Jawapan : Saya lihat bahawa kritikan Tun Dr Mahathir bukan lagi diperingkat memberi teguran dan nasihat, suasananya seperti mahu ‘berkerat rotan’ dah macam tidak ada tujuan lain kecuali untuk Datuk Seri Najib turun dari jawatan sekarang. Saya tidak nafikan, ia adalah hak kebebasan mana-mana pihak untuk menyatakan pandangan, pendirian dan pendapat dalam soal ekonomi serta politik negara. Semuanya bebas walaupun dia (Tun Dr Mahathir) tiada jawatan apatah lagi seorang rakyat biasa tetapi pernah menjawat jawatan yang tinggi dalam negara.

Namun, apabila Datuk Seri Najib jawab secara terang bahawa beliau tidak akan mengundur diri walaupun adanya serangan daripada Tun Dr Mahathir saya rasa itu dah jelaslah kalau Datuk Seri Najib sudah tak mahu turun, kita akan tanya pula apa yang akan dibuat oleh Tun Dr Mahathir ketika ini?

Datuk Seri Najib mendapat sokongan yang banyak daripada dalam UMNO bagi mengekalkan kedudukan beliau. Oleh itu, tiada apa-apa yang boleh dibuat untuk beliau meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, kita harus kembali kepada prinsip asas dalam kedudukan sistem Parlimen sekarang. Siapa mendapat sokongan ramai terus menjadi Perdana Menteri. Selagi Datuk Seri Najib mendapat kepercayaan sebahagian besar ahli Parlimen, beliau akan terus kekal menjadi Perdana Menteri. Ini prinsip Parlimen. Kalau soal, orang luar kata dia tidak sokong dan minta Datuk Seri Najib undur diri, itu hak dia.

Sebagai ahli Parlimen, kita berpuas hati dengan pendirian, dasar kerajaan, strategi dan penghormatan oleh Datuk Seri Najib kepada ahli Parlimen. Beliau sedia berbincang dan mendengar pendapat dan pandangan. Umpamanya, ada rang undang-undang yang kita tak setuju, ditarik balik dan rang undang-undang yang kita tak berapa puas hati, beliau tak bentang lagi dan kita berbincanglah.

Soalan : Apakah penyelesaian yang sesuai kepada isu antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Najib ini?

Jawapan : Jalan yang terbaik ialah satu pihak kena berhenti mengkritik. Sama ada Tun Dr Mahathir kena berhenti ‘menyerang’. Jadi untuk menyelesaikan keadaan ini, siapa yang patut beralah? Dan kalau keadaan sebegini boleh tak Tun Dr Mahathir beralah?

Untuk berdamai, perlu kedua-dua pihak hendak berdamai. Kalau seorang sahaja hendak berdamai tidak jadi. Apa matlamatnya? Kalau tujuannya hendak membetulkan parti, kena ada gerakan itu dalam parti yang menyatakan tidak sokong pemimpin dan daripada Parlimen kerana kita ada sistem politik berparti.

Sebelum kita mahu soal pemimpin hendak tukar atau tidak, perlu ada asas. Kalau asasnya kelakuan yang tak betul atau penyelewengan terbukti, sebab itu isu 1MDB dirujuk kepada Ketua Audit Negara yang akan melibatkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Ini sendiri bermakna bahawa Parlimen sebagai satu institusi dihormati dan diperkasakan untuk memainkan peranan dalam menyelesaikan soal 1MDB.

Kita harap Ketua Audit Negara akan buat kerja dengan cepat supaya PAC boleh bertindak cepat kerana semua pihak hendak melihat penyelesaian kepada soal ini. Janganlah sampai setahun atau dua tahun. Kita tidak mahu keadaan begitu.

Saya lihat kedudukan Ketua Audit Negara belum tercemar berbanding Ketua Hakim Negara yang suatu ketika dahulu, Tun Salleh Abbas dipecat dan kemudian timbul kes Datuk V.K. Lingam dengan Tun Mohd. Eusoff Chin.

Kedudukan Ketua Audit Negara dari zaman Tan Sri Ahmad Noordin Zakaria sampailah hari ini Tan Sri Ambrin Buang, ia satu jawatan yang dihormati dan tidak dipertikaikan dari segi kewibawaan. Jadi, apabila dirujuk kes 1MDB ini kepada Ketua Audit Negara, saya rasa kita boleh terima bagi menyelesaikan kemelut ini, kalau dikatakan 1MDB begitu dan begini kerana kita tahu hari ini ia hanya dakwaan.

Soalan: Tun Dr Mahathir pernah menyatakan beliau gagal mempunyai pelapis. Apa komen Tan Sri jika dikaitkan dengan Datuk Seri Najib dalam perkara ini?

Jawapan: Bagi saya apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir berkenaan beliau gagal mempunyai pelapis sebenarnya tidak sampai ke peringkat Datuk Seri Najib pun.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir  berkata beliau sendiri meminta Tun Abdullah memilih Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri saya rasa perkara ini tidak benar. Tak mungkin Tun Abdullah mahu dengar cakap Tun Dr Mahathir selepas beliau dikritik teruk oleh Tun Dr Mahathir.

Oleh itu, saya melihat Datuk Seri Najib bukan dari pelapis Tun Dr Mahathir sebab beliau jadi Perdana Menteri selepas Tun Abdullah.

Sebab itu saya ulang kembali apa yang saya katakan sebelum ini jika Datuk Seri Najib duduk dimana-mana ‘team’ sama ada A atau B pada tahun 80-an dahulu beliau tetap akan jadi Perdana Menteri.

Kita lihat bermula dari Tun Dr Mahathir sepatutnya beliau diganti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dari Team A. Tapi susur galur itu berubah apabila diganti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dari Team B. Selepas itu diganti pula kepada Datuk Seri Najib dari Team A. Nampaknya disitu walau apa pun berlaku Datuk Seri Najib tetap akan menjadi Perdana Menteri.

Soalan : Apakah komen Tan Sri berhubung isu yang hangat diperkatakan tentang Tabung Haji membeli tanah dari 1MDB?

Jawapan : Saya melihat keadaan ini pertamanya ramai daripada rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu dan Islam tidak berapa faham serta sedar sebenarnya bagaimana Tabung Haji itu sudah meningkat dari kekuatan ekonominya. Dari segi Tabung Haji kalau kita lihat simpanan yang dibuat oleh pencarum yang menyimpan jumlahnya cecah sehingga RM56 bilion dan  jumlah ini kita lihat sudah menjadi satu tabungan yang sama besar dengan bank-bank kecil misalnya CIMB Islamic umpamanya, modal mereka tak sama pencarum yang menjadi liabiliti  pada mereka, sebenarnya lebih kecil dari Tabung Haji itu sendiri, bank-bank lain seperti RHB Invesment Bank, CIMB Investment Bank mereka ini bank tetapi pencarum mereka tidak sama besar dengan Tabung Haji.

Maknanya Tabung Haji sudah hampir menjadi sebagai sebuah institusi kewangan yang besar dan ia mampu memberikan dividen lebih daripada pencarum ASNB dan KWSP misalnya.

Oleh demikian, saya lihat tiada masalah Tabung Haji membeli tanah itu untuk dijadikan aset kerana kawasan yang dibeli itu bakal memberi pulangan yang baik kepada Tabung Haji dan penyimpan. Ini yang perlu kita faham.

Soalan: Boleh Tan Sri ulas tentang isu 1MDB?

Jawapan: Saya menunggu hasil penyiasatan oleh Ketua Audit Negara dan kita berpuas hati kerana kita Ahli Parlimen. Apabila terus diperkasakan Parlimen, institusi Parlimen itu menjadi lebih penting.

Jadi, kedudukan kita sebagai Ahli Parlimen, kita rasa bangga sebab dihormati, ada wakil kita duduk dalam PAC yang mewakili kita dan akan menyiasat bersama selepas dapat laporan daripada Ketua Audit Negara.

Ini yang mustahak sebab institusi dan demokrasi kita bertambah kukuh.
Demokrasi ini tidak boleh hanya berasaskan personaliti atau kepimpinan peribadi tetapi harus juga kepada kekuatan, kemampuan dan kewibawaan institusi itu sendiri sama ada institusi raja, hakim, Parlimen, Ketua Audit Negara dan SPRM.