UMNO Kini ‘Kenderaan Untuk Orang Jadi Kaya’ – Tawfik Ismail

290
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Umno kini “kenderaan” untuk orang menjadi kaya dan bukannya platform mengetengahkan idea politik, kata bekas ahli Parlimen parti itu, Tawfik Ismail, sambil menambah ini sekali gus memusnahkan kredibilitinya.

Dalam usaha mendapatkan semula kepercayaan orang ramai dan dilihat sebagai berprinsip, Umno mesti menghapuskan jentera naungannya, kata anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu.

Beliau berkata demikian menjelang perhimpunan agung Umno minggu ini di mana presidennya Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha meraih semula sokongan selepas didakwa atas tuduhan rasuah dalam skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam usaha mendapatkan semula kepercayaan orang ramai, pemimpin Umno perlu memisahkan parti daripada jentera kerajaan supaya birokrasi boleh menjadi neutral dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dengan adil, kata Tawfik.

“(Umno kini menjadi) jentera naungan yang hebat yang mempunyai nasionalisme Melayu sebagai asasnya,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

“Umno dan kerajaan sudah bersatu bersama-sama dan adalah mustahil untuk melihat di mana tanggungjawab parti dan di mana fungsi kerajaan.”

Tawfik adalah ahli Parlimen Sungai Benut, kawasan pilihan raya yang sudah pun berpecah kepada Pontian dan Simpang Renggam. Beliau wakil rakyat kawasan itu dari 1986 hingga 1990.

Regresi Umno menjadi jentera naungan lebih jelas di bawah pentadbiran bekas presiden dan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tawfik.

Pada zaman Dr Mahathir, guru dan kakitangan awam, yang membentuk sebahagian besar daripada ahli akar umbi Umno sejak parti itu ditubuhkan pada 1946, secara perlahan-lahan kehilangan tempat dan digantikan dengan ahli perniagaan.

Ini disebabkan satu pekeliling kerajaan yang melarang sesetengah kelas penjawat awam mengambil bahagian dalam parti politik, katanya.

Guru juga mula hilang pengaruh apabila Umno dikuasai ahli perniagaan berharta sehingga menjadikan mereka tidak dapat bersaing.

Tawfik berkata, kehilangan guru daripada keahlian Umno, bermakna parti itu juga hilang salah satu kekuatan iaitu sifat sederhana yang sangat penting untuk terus menjadikannya berprinsip.

“Guru sangat dihormati dalam masyarakat kerana mereka seperti ibu bapa anda. Mereka membantu ibu bapa dalam menyampaikan nilai kepada kanak-kanak.

“Apabila anda mempunyai ahli perniagaan, mereka membawa satu set yang berbeza nilai dan ini akan mengubah parti.

“Ia menjadi semakin jelas di bawah (Dr Mahthir), apabila anda lihat guru digantikan dengan ahli perniagaan.

“Jadi seorang menteri yang mempunyai kuasa naungan boleh mengarahkan kontrak dan projek kepada penyokong mereka,” katanya.

Umno berbeza ketika Tawfik mula berkecimpung dalam dunia politik sebagai ahli cawangan Larkin di bawah Bahagian Johor Baru pada 1981. Komposisi cawangan adalah pelbagai bagi setiap bandar besar.

“Pada masa zaman saya dulu, kekuatan utama Umno di Johor Baru adalah keahlian daripada guru dan penjawat awam di bawah gred A, dan masyarakat setinggan.

“Apabila berpindah ke Sungai Benut, ahlinya merupakan pekerja ladang, ahli perniagaan kecil Melayu, guru, ahli yang bersara daripada angkatan tentera, polis, pekebun kecil, nelayan, peniaga kecil dan masyarakat asli Orang Laut.

“Kehadiran guru, adalah komponen dihormati masyarakat Melayu yang menjadikan Umno asal sebagai kuasa bersifat sederhana,” kata Tawfik. – INSIDER