UMNO Kini Ada 3.57 Juta Ahli

71
0
SHARE

Foto Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: UMNO yang kini mempunyai keanggotaan 3.57 juta mesti memastikan bahtera perjuangan parti itu diteruskan dan terus utuh biarpun berdepan onak duri dan cabaranya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Perhimpunan Agung UMNO yang kini sedang berlangsung memberi makna cukup besar bukan saja pada ahli tapi juga masyarakat.

“Komponen BN dan UMNO kini menjadi sasaran provokasi, persepsi diangkat menjadi realiti. Media sosial digunakan untuk memburukkan UMNO bertali arus.

Segelintir ahli UMNO menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan mengambil pegangan bercanggah dengan parti.

“Apa halangan bukan alasan untuk berhenti tapi jadi semangat.

Bergerak sederap, bukan mudah untuk ditangani, tapi mengalah tidak sesekali. Setiap yang berlaku akan ditempuh secara terbuka.

“UMNO perlukan mereka yang sentiasa komited dalam perjuangan,” katanya dalam ucapan ketika membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya juga, Tengku Adnan turut memaklumkan kehadiran 2,654 perwakilan pada PAU 2015.

“Hingga 9 Disember lalu, jumlah keahlian UMNO adalah 3.578 juta dan bilangan cawangan adalah 21,502 dengan cawangan teramai adalah di Kampung Batu Pilutih Darat, Libaran, Sabah iaitu 2,051 ahli,” katanya.