UMNO Johor Terima Keputusan Najib Gugur Muhyiddin

409
0
SHARE

KUALA LUMPUR: UMNO Johor berharap barisan Kabinet yang baharu dibentuk semalam mampu menyelesaikan masalah dihadapi negara, sebagaimana keyakinan Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikannya dalam tempoh munasabah. Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata UMNO negeri itu juga menerima ketetapan Perdana Menteri untuk menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Semasa Perdana Menteri datang ke Johor pada 15 Mei lalu, Perhubungan UMNO negeri membuat keputusan bahawa Perdana Menteri perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi termasuk isu 1MDB.

“Jika soal kekuatan termasuk menggugurkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita menerima ketetapan itu, lebih-lebih lagi kerana kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri. “Dalam pada itu, perlulah juga diambil peringatan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Timbalan Presiden UMNO dan diharap semua pihak terus menghormatinya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamed Khaled juga berkata, tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang sudah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat UMNO bahagian masing-masing. “Saya berharap rakyat dan ahli UMNO khususnya daripada Johor dapat bersabar dan melalui saat-saat ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan.

“Semoga Allah SWT memberi kita semua kekuatan untuk akhirnya menemui kebenaran,” katanya.