UMNO Bertambah Lemah Jika Pecat Muhyiddin, Shafie – Sanusi Junid

953
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Umno akan bertambah lemah sekiranya spekulasi pemecatan timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti Datuk Seri Shafie Apdal menjadi kenyataan esok, kata Tan Sri Sanusi Junid.

Bekas setiausaha agung Umno yang pernah memegang jawatan sebagai menteri besar Kedah ketikaTun Dr Mahathir Mohamad masih perdana menteri itu berkata keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya perkara berkenaan benar-benar berlaku.

“Umno akan menjadi bertambah lemah kerana setiap tokoh mempunyai pengikut, penyokong, sahabat dan saudara mara,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

“Apatah lagi pemecatan itu, jika berlaku, adalah kerana perbezaan pendapat. Bererti yang tinggal hanya ‘yes man’,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi anggota Kabinet Dr Mahathir berkata, apa saja boleh berlaku dalam keadaan pelbagai isu melanda parti Melayu terbesar itu.

“Semuanya bergantung kepada spekulasi kepentingan dan pemikiran sekitar rancangan pewarisan kepimpinan,” katanya.

Sekiranya benar ada pemecatan yang berlaku dalam masa terdekat ini, Sanusi berkata pemimpin Umno tidak berfikir panjang dalam membuat keputusan.

“Ini bermakna pemimpin Umno sekarang takut kepada tokoh ini.

“Ia juga bererti pemimpin tidak ada strategi jangka panjang dan yang ada hanya ‘panic management’,” katanya yang pernah menjadi naib presiden Umno.

Semalam, satu perjumpaan khas dengan Biro Politik Umno diadakan sebagai persediaan sebelum menghadapi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 9 September.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan sendiri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno.

Sebelum ini tersebar di media sosial kononnya Muhyiddin dan Shafie akan dipecat pada 9 September.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut dikatakan bakal dipecat.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussien menafikan dan menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.