UMNO Bandar Tun Razak Minta Kerusi PRU14

959
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Bandar Tun Razak memohon Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan pemohonan mereka untuk meletakkan calon dari parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Datuk Mokhtar berkata, sebelum ini kerusi Parlimen Bandar Tun Razak diberikan kepada calon MCA, namun pada PRU14 ini pihaknya mahu sedikit perubahan dilakukan untuk kebaikan parti.

Katanya, Umno mahu meletakkan calon kerana Bandar Tun Razak merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Kami bukannya kecewa, tetapi pada kali ini kami mahu Presiden memberi peluang pula kepada UMNO dengan meletakkan calon dari UMNO sendiri pada PRU akan datang.

“Sebelum ini walaupun calon bukan datang dari UMNO, namun kami UMNO Bandar Tun Razak tetap menyokong calon dari MCA pada PRU lalu. Cuma kali ini kami mahu Presiden beri pula kepada UMNO,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak 2015 di Kompleks Darul Puteri PPIM, hari ini.

Turut sama pada majlis tersebut, Najib dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.