Umat Islam Dipaksa Ikut ‘Islam Ala Jakim’ – Tun M

109
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Umat Islam seolah-olah dipaksa mengikut ajaran Islam mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Islam tidak memaksa penganutnya untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan, sebaliknya mengajar umatnya berdasarkan al-Quran.

“Hari ini Jakim nak mengislamkan semuanya, malah untuk belajar Sains pun perlu belajar Sains dalam Islam.

“Dalam Quran kata “tiada paksaan dalam Islam” tapi Jakim mahu semua orang ikut Islam versi Jakim,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku berjudul “Assalamualaikum” hasil tulisan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim di sini, Jumaat.

Kata Dr Mahathir, terdapat beberapa perkara di mana Jakim mahu masyarakat mengikut pandangannya.

“Saya tak tahu kenapa, dalam beberapa perkara kena ada paksaan,” katanya.

Baru-baru ini anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Mohamed Tawfik menggesa agar Jakim dibubarkan.

Katanya, Jakim perlu dibubarkan kerana peranan institusi itu bertindih dengan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan, ulama dan mufti dalam melindungi kesucian agama Islam di negara ini, selain mempertikaikan tugas sebenar Jakim.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, kebanyakan umat Islam di negara ini hanya membaca al-Quran tetapi tidak faham maksudnya.

Katanya, perkara ini membuatkan banyak perkara dalam Islam menjadi keliru.

“Saya baca al-Quran berdasarkan terjemahan bahasa Melayu dan Inggeris. Banyak versi terjemahan,” katanya.