“Tun Razak Mahu Memerintah Secara Demokrasi, Bukan Darurat” – Pak Lah

122
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein adalah seorang yang mempercayai demokrasi, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang adalah bekas perdana menteri kelima menceritakan berikutan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Abdul Razak ingin mengembalikan kuasa kepada Parlimen walaupun beliau masih boleh terus mentadbir negara melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran).

“Dia adalah seorang yang sangat mempercayai demokrasi. Dia mahu mewujudkan semula demokrasi kerana beliau percaya melalui Parlimen Malaysia yang kukuh mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dan dengan itu boleh mencapai kejayaan.

‘Dia percayakan Parlimen, bukan Mageran.

“Selepas penubuhan Mageran, proses untuk mengembalikan kuasa kembali kepada Parlimen adalah dasar terbaik Tun Razak,” kata Abdullah semasa berucap dalam seminar khas bagi memperingati Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur hari ini.

Mageran ditubuhkan setelah kerajaan Perikatan mengisytiharkan darurat berikutan peristiwa 13 Mei dan ia diketuai oleh Abdul Razak.

Majlis itu diberikan kuasa penuh mentadbir negara untuk sementara dan bertanggungjawab membuat penyiasatan serta mengambil tindakan bagi mengatasi permasalahan yang timbul sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan kaum.

Berbeza dengan anaknya yang kini Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Razak, beliau kini meluluskan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015.

Rang undang-undang MKN 2015 telah diluluskan Dewan Negara tanpa sebarang pindaan.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri – atas kedudukannya sebagai Pengerusi MKN – kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai “zon keselamatan” dengan hanya kelulusan daripada anggota majlis berkenaan.

Apabila pengisytiharan dibuat, pasukan keselamatan dibenarkan membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

SHARE
Previous articleMedia Sosial Punca Penceraian – Pakar
Next articleRafizi Dakwa Skandal Naik Taraf TUDM RM3.4865 Bilion