“Tun M Tidak Yakin Kekuatan BERSATU” – Azalina

90
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan ketidak yakinan bekas perdana menteri itu dengan kekuatan parti baharu di bawah naungan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ada banyak persamaan antara Mahathir dengan Anwar, hari ini kawan, esok lawan, hari ini lawan, esok kawan. Jika kita lihat di negara Barat, kalau dah berhenti betul-betul berhentilah, tapi di negara kita mereka masih berkecimpung dalam politik.

“Kalau ini strategi (pertemuan Mahathir dan Anwar) yang perlu dibuat parti baru, betullah bahawa tidak ada keyakian kepada parti baru yang baru (Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau BERSATU),” kata Azalina dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mahathir yang hadir memberi sokongan kepada Anwar di mahkamah semalam kerana tidak lagi yakin dengan kewibawaan Muhyiddin dalam BERSATU.

Semalam, Mahathir telah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Mahathir yang memecat timbalannya itu pada 1998, kemudiannya bertegur sapa dan bersalaman, sambil diperhatikan oleh anggota polis dan hadirin yang hadir.

Tangan kiri Anwar kelihatan menggenggam tangan kiri Mahathir. Sementara Mahathir pula kelihatan menepuk bahu Anwar.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, tindakan kedua-dua bekas pemimpin kerajaan itu juga bukan tindakan yang memeranjatkan.

“Saya tak terperanjat pun kerana Mahathir adalah pakar politik dan pemimpin negara yang ada kehebatannya, tapi dalam politik ni tidak ada kawan tetap dan tak ada musuh yang tetap, takkan salam je kan?

“Saya nak tengok adakah Mahathir akan mengakui perkara yang terjadi sebelum ini terhadap Anwar sebenarnya tidak berlaku? Adakah itu merupakan ‘next step’ yang akan berlaku?,” soalnya lagi.

Terdahulu Azalina mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Kerja Jenayah Seksual mengenai cadangan wujud akta baru berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. – MK