Tun M Terlucut Jawatan Dalam MUBARAK

916
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO menyebabkan dirinya tergugur secara automatik sebagai penaung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK).

Malah tindakannya yang menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi Rakyat turut menjadi penyebab jawatannya dalam NGO berkenaan terlucut.

Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang menegaskan perkara itu berkata, Dr Mahathir secara jelas telah lari dari matlamat dan objektif penubuhan MUBARAK.

“Kita semua ahli Barisan Nasional (BN), objektif kita pun hendak menyokong dan menguatkan BN.

“Tetapi, apabila Tun terkeluar kali kedua dari UMNO, bertemu pula dengan parti lawan yang menentang BN jadi kita buat keputusan untuk mengucapkan terima kasih,” ujarnya dalam sidang media di Hotel WP, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya akan menghantar surat kepada Dr Mahathir bagi memberitahu mengenai status dirinya di dalam MUBARAK ketika ini.

“Kita tidak pecat dia, tetapi mengucapkan terima kasih. Kita juga ada tatacara Melayu kita. Kita akan tulis surat kepada dia (Dr Mahathir) atas khidmat dia,” ujarnya lagi.

Dr Mahathir dilantik oleh MUBARAK pada 2005 sebagai penaung pertubuhan itu. – FMT