“Tun M, Sila Lepaskan Jawatan Di Yayasan Kepimpinan Perdana” – Pemuda UMNO

1266
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disaran melepaskan jawatan sebagai Presiden Kehormat dalam Yayasan Kepimpinan Perdana berikutan kelantangannya mengkritik kerajaan akhir-akhir ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz berkata, sudah tiba masanya Dr Mahathir memikirkan kembali bahawa tindakan mencari populariti jalanan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu langkah yang tidak mengikut Perlembagaan.

“Melihat kepada gerakan jalanan berterusan yang diketuai oleh Dr Mahathir dalam usaha mengguling Presiden UMNO Dan Perdana Menteri Malaysia yang telah dipilih melalui saluran demokrasi, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya dia melepaskan jawatan sebagai Presiden Kehormat dalam Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Ini adalah kerana sebagai sebuah institusi yang diwujudkan untuk mengkaji kepimpinan negara terutama jasa, pengorbanan dan pencapaian semua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, sudah tentu ia berpaksikan penghormatan dan kepatuhan kepada sistem berparlimen negara dan Perlembagaan Persekutuan yang hari ini jelas ditentang oleh Dr Mahathir sendiri,” katanya.

Tengku Zuhri mengulas perhimpunan Kongres Rakyat pada Ahad lepas di Shah Alam, Selangor yang turut disertai Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rata-rata pemimpin yang menyampaikan ucapan menyentuh perkara-perkara seperti penyalahgunaan kuasa, sistem kehakiman, dana politik, hak rakyat, pemulihan ekonomi dan cita-cita menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

Seramai 19 pemimpin pelbagai latar belakang menyampaikan ucapan termasuk pemimpin pembangkang yang antara lain merumuskan tentang harapan dan masa depan rakyat negara ini.

Dalam pada itu jelas Tengku Zuhri, Dr Mahathir harus faham, kesemua perdana menteri dipilih melalui sistem demokrasi yang sama.

“Sebagai Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, dia seharusnya tahu kepentingan menghormati sistem dan peruntukan undang-undang yang telah dibina sejak penubuhan negara.

“Jika perkara ini tidak dihormati maka ia akan menyampaikan satu mesej yang merbahaya di mana sistem dan undang-undang tidak lagi penting bagi rakyat terutamanya golongan muda. Pilihan raya adalah medan untuk menentukan pemimpin negara, bukan melalui desakan jalanan.

“Mesej yang dibawa oleh gerakan ini juga sudah tentu bercanggah dengan objektif penubuhan Yayasan Kepimpinan Perdana,” ujarnya.

Justeru itu, desakan Tengku Zuhri terhadap perletakan jawatan Dr Mahathir perlu bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya salah tafsir akan objektif sebenar penubuhannya.

“Lebih teruk lagi jika yayasan ini digunakan sebagai landasan untuk menggerak kepentingan atau agenda politik peribadi mana-mana pihak,” jelasnya.- AWANI