Tun M Serahkan Nasibnya Kepada Polis

407
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan sama ada untuk menahannya berikutan siasatan yang sedang dijalankan ke atasnya berkaitan kritikannya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri dan presiden Umno itu berkata, walau apa pun siasatan yang sedang berjalan, beliau tidak berhasrat meninggalkan parti Melayu itu.

“Terpulang kepada mereka (polis),” katanya kepada wakil media hari ini sebelum meninggalkan pejabatnya kira-kira pukul 1.15 tengah hari ini.

Beliau juga mengetepikan soalan wartawan yang bertanya sekiranya beliau takut akan ditangkap, dengan mengatakan sekali lagi “terpulang kepada mereka”.

Beliau juga menjawab mengatakan “Saya tidak tahu” apabila ditanya di bawah peruntukan undang-undang mana beliau sedang disiasat.

Terdahulu hari ini kira-kira jam 10.40 pagi, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Persekutuan Bukit Aman tiba di pejabat Dr Mahathir bagi merakamkan kenyataannya dipercayai berkaitan kritikan yang dibuatnya terhadap Najib, khususnya ketika perhimpunan Bersih 4 Ogos lalu. – INSIDER