Tun M Sedia Nyatakan Kebenaran Di Mahkamah

606
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tidak gentar dirakam keterangan polis, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menyatakan kebenaran dalam mahkamah membuktikan semua tuduhan yang dilemparkan dalam artikelnya yang mempersoalkan kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu tidak menjawab secara spesifik soalan yang dikemukakan pegawai yang mengambil keterangan beliau hari ini kerana mahu menjawabnya di mahkamah nanti.

“Pihak polis bertanya berkenaan artikel mengenai peguam negara yang saya tulis, tetapi saya tidak jawab soalan spesifik berkenaan, kerana saya berharap dapat menjawabnya apabila ada perbicaraan di mahkamah nanti di mana saya berpeluang jawab soalan itu.

“Selain itu, saya juga nyatakan mengapa saya sahaja disoal oleh polis sedangkan banyak orang lain yang bercakap perkara sama dan buat tanggapan sama tetapi tak disoal,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Beliau membangkitkan sama ada wujud diskriminasi kerana hanya keterangan beliau yang dirakam tetapi tidak orang lain.

“Adakah ada diskriminasi dalam perjalanan pihak mahkamah atau peguam negara untuk buat tuduhan kepada saya, dan tidak kepada orang lain, yang buat kenyataan sama,” katanya.

Dr Mahathir hari ini dirakam keterangan ekoran tulisan di blognya pada 5 Februari, yang menyerang Apandi berhubung keputusan tidak mendakwa perdana menteri berhubung kes derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd, mengatakan pendakwa utama negara itu tiada kredibiliti.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meletak jawatan jika Malaysia mahu mendapatkan semula reputasinya.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan merakamkan percakapan Dr Mahathir susulan kenyataannya di laman blognya yang mempersoalkan kredibiliti Apandi.

Katanya, polis terpaksa menjalankan tugas susulan terdapat laporan polis yang diterima berhubung artikel itu.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata siasatan terhadap Dr Mahathir dilakukan berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman 2 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan berkaitan fitnah.

Ini merupakan kali ke-2 Dr Mahathir disoal siasat polis.

Pada 6 November tahun lalu, Dr Mahathir turut disiasat polis mengikut seksyen yang sama, kerana memfitnah, susulan kenyataan beliau ketika menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada Ogos 2015.

Ketika itu, Dr Mahathir turut memilih untuk tidak menjawab soalan dan berkata kepada wartawan beliau menyerahkan nasibnya kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Mereka bertanya soalan dan saya kata, saya tidak akan menjawab. Saya tidak menapis apa-apa,” katanya merujuk kepada soalan yang diajukan sepasukan polis diketuai Supt Azham Othman kepadanya.

Pasukan peguamnya, diketuai Haniff Khatri Abdulla berkata ketika itu, polis menghabiskan kira-kira 45 minit menyoal bekas perdana menteri itu. – INSIDER