“Tun M, Hentikan Serangan Terbuka Kepada Peguam Negara” – Rahim Tamby Chik

72
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan untuk menghentikan serangan serta kritikan terbuka secara langsung terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali atau keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak sebagai satu perkara yang tidak wajar dan tidak berpatutan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Rahim Thamby Chik berkata, sebagai pegawai tertinggi dalam bidang perundangan negara, tugas dan tanggungjawab Peguam Negara adalah mempertahankan kedaulatan undang-undang tanpa memilih ‘bulu’ dan tidak gentar dengan sebarang keputusan yang dibuat.

“Di dalam konteks ini serangan peribadi dan kritikan terbuka Tun Mahathir terhadap Mohamed Apandi adalah tidak wajar dan tidak berpatutan memandangkan hujah-hujah yang digunakan Tun Mahathir masih samar selain tidak disokong bukti yang kukuh lagi konkrit.

“Mungkin Tun Mahathir menggunakan persepsi negatif sebahagian rakyat terhadap kerajaan atau petikan dari sumber media dari dalam dan luar negara yang sememangnya anti-kerajaan dan bencikan Malaysia.

“Sebenarnya sumber seperti ini belum boleh dianggap sebagai bukti yang kukuh dan konkrit serta tidak sesuai dijadikan landasan untuk membuat tomahan secara spesifik, terbuka dan peribadi kepada seseorang penjawat awam seperti Peguam Negara,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini. – AWANI