Tun M Didorong Kemarahan Terhadap Najib – Nazri

813
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengatakan bahawa demokrasi telah mati ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Bukankah beliau (Dr Mahathir) menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang cuba menimbulkan huru-hara terhadap kerajaan?

“Beliau rasa jadi perdana menteri ini sangat bagus, masa itulah undang-undang habis diterbalikkan, dipecat Ketua Hakim,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Nazri mengulas mengenai kenyataan di blog Dr Mahathir baru-baru ini yang mendakwa bahawa demokrasi di negara ini telah mati.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menambah bahawa Dr Mahathir membuat kenyataan yang mengelirukan kerana didorong oleh kemarahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tak apa kalau beliau hendak menyalahkan kita sekiranya beliau tidak pernah menjadi perdana menteri dan tidak mempunyai rekod pencapaian.

“Tetapi rekod beliau teruk,” katanya.

Menurut Nazri, jika demokrasi telah mati, blog Dr Mahathir mungkin telah ditutup dan menegaskan bahawa ia masih boleh diakses orang ramai.

“Jika kita mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang, ia tidak bermakna tiada demokrasi,” katanya.