Tun M Bertindak Keterlaluan – Rais Yatim

145
0
SHARE

GOMBAK: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihatkan untuk tidak bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berpandangan Dr Mahathir seharusnya mengikut lunas-lunas undang-undang dengan memberi peluang sehingga Pilihan Raya akan datang kepada Najib.

“Kedua-dua belah pihak harus main peranan, Dr Mahathir jangan keterlaluan suruh orang turun sebagai Perdana Menteri.

“Beliau (Dr Mahathir) pun macam-macam peristiwa berlaku. Saya di dalam kabinet beliau, saya hormat beliau.

“Sekarang anak asuhan beliau, Najib disuruh turun, Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) juga disuruh turun juga mesti ada caranya. Mesti mengikut lunas undang-udang,” katanya kepada pemberita di IIUM Kampus Gombak.

Rais Yatim berkata demikian mengulas tindakan Dr Mahathir dalam membentangkan Deklarasi Rakyat bersama bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu turut tidak menduga Dr Mahathir sanggup bergabung dengan pembangkang.

Justeru itu, Najib diminta berwaspada dengan kritikan yang diterima dan mengemaskan lagi kaedah kerajaan dalam menghadapi kritikan tersebut.

“Saya tidak menduga bahawa Dr Mahathir akan melaksanakan satu taktik seperti itu kerana selama ini beliau dikenali sebagai tidak mesra dengan Lim Kit Siang, PKR dan banyak pihak lain .

“Saya tidak fikir ini wajar. Hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan belum selesai, ada lagi dua tahun di mana kerajaan harus buat kerja rumah. Harus diberi peluang itu, dan usah bercakap mengenai turun dari jawatan sebelum itu, ia bukan cara negara demokrasi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan tindakan Dr Mahathir sebagai tidak boleh dimaafkan.

Katanya, Najib seharusnya diberi peluang untuk memperbaiki keadaan bukan terus dihentam. – FMT