Tun M Beri Keterangan Kepada RCI Forex Isnin

12
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia semasa beliau jadi perdana menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dijadual memberikan keterangannya pada 11 pagi Isnin ini, kemungkinan akan menjadi saksi ke-23 dipanggil memberikan keterangan mengenai kerugian berbilion ringgit yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) antara 1988 hingga 1994 itu.

Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun berkata Dr Mahathir mahu merakamkan kenyataannya sebelum hadir ke suruhanjaya itu.

“Semua 20 saksi sebelum ini diberi kebenaran menyediakan keterangan bertulis. Kami mahu mereka memberikan kebenaran yang sama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Haniff.

“Jika mereka berminat menjalankan siasatan sewajarnya dengan Dr Mahathir, maka kami meminta yang mereka melakukannya dengan adil dan beradab.

“Saksi sebelum ini diberikan masa untuk menyediakan keterangan mereka. Pegawai RCI membantu dengan menemubual mereka (saksi) dan mereka juga dibenarkan membaca dokumen (kerajaan) dan berfikir sebelum menjawab. Kami mahukan layanan yang sama.”

Haniff berkata dia akan menyerahkan surat kepada secretariat RCI meminta suruhanjaya itu menetapkan tarikh dan masa untuk pegawai mereka menemubual Dr Mahathir.

Sekretariat RCI diketuai oleh Setiausaha Jabatan Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusoff Ismail.

RCI yang diketuai bekas Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan ditugaskan untuk menyiasat kerugian yang dialami bahagian pelaburan mata wang asing bank pusat itu sejak 1980-an sehingga 1994.

Bekas Pembantu Gabenor BNM Abdul Murad Khalid mendakwa yang kerugian forex BNM pada 1990-an mencecah AS$10 bilion, lebih tinggi berbanding yang dilaporkan dalam laporan tahunan BNM 1994 iaitu RM9.3 bilion.

Peguam untuk Dr Mahathir dan Ketua Umum Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim yang merupakan menteri kewangan ketika itu, menyifatkan RCI berat sebelah dalam siasatan yang mencadangkan kedua-dua pemimpin itu mengetahui kerugian sebenar bank pusat itu tetapi menyembunyikannya daripada rakyat.

Peguam juga mengkritik tindakan RCI yang menutup akses kepada dokumen yang digunakan beberapa orang saksi dalam memberi keterangan. Ini termasuklah laporan audit yang dilaporkan masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Kerana mereka yang mengeluarkan sepina kepada Dr Mahathir, beliau perlu diberikan peluang sama untuk menyemak dokumen itu, ada yang sudah berusia (dokumen) 25 tahun,” kata Haniff.

“Mereka perlu memberikan beliau masa yang sesuai untuk membaca dan memahaminya serta mengingat kembali. Jika RCI tidak berhasrat membenarkan Dr Mahathir menyediakan keterangan saksinya, maka mereka mempunyai tanggungjawab untuk membenarkan kami mendapatkan semua dokumen itu, yang mereka ingin gunakan kepadanya (menyoal Dr Mahathir).

“Dokumen itu perlu dihantar sebelum atau pada jam 3 petang Jumaat,” kata Haniff.

“Jika tidak akan timbul persoalan mengapa mereka melayan Dr Mahathir berbeza? Mengapa mereka memberikan masa kepada saksi lain menyediakan (keterangan) mereka?”

Kata Haniff lagi, sekiranya RCI gagal memenuhi kedua-dua tuntutan itu, mereka perlu memberikan sebab dan alasan.

“Jika tidak sangat jelas yang mereka tidak pernah berhasrat melakukan siasatan yang adil,” katanya lagi.

“Memandangkan Dr Mahathir telah disepina, beliau akan menghadiri RCI tetapi tanpa prejudis terhadap rayuan yang ditangguhkan di Mahkamah Rayuan,” kata Haniff.

Sebelum ini, peguam menyifatkan pelantikan Sidek dan Saw Choo Boon dalam RCI sebagai keputusan berat sebelah kerana mereka merupakan ahli Pasukan Petugas Khas yang mencadangkan penubuhan RCI kepada Kabinet.

Anwar yang merupakan saksi ke-21 disoal siasat oleh RCI, Khamis lalu. Beliau adalah satu-satunya saksi yang dipanggil tanpa menyediakan keterangan terlebih dahulu.

Pemimpin pembangkang menyifatkan siasatan itu mempunyai unsur politik.

SHARE
Previous article“Agroyouth” Akan Diteruskan Pada HPPNK 2017
Next articleTrump, Najib Berbincang Di White House